KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming tidak berpuas hati dengan tahap kebersihan di kawasan strategik yang menjadi tumpuan pelancong terutama di sekitar Petaling Street.
Katanya, dalam tinjauan malam semalam mendapati kebersihan dan kutipan sampah di kawasan itu kurang memuaskan.
“Semasa lawatan saya ke Petaling Street, saya dapati urusan kebersihan dan kutipan sampah di kawasan destinasi pelancongan ini kurang memuaskan, sedangkan ini penting untuk kita bangunkan industri pelancongan.
“Justeru, saya arahkan jabatan yang bertanggungjawab supaya tindakan segera perlu diambil oleh syarikat konsesi Alam Flora supaya ada pelan tindakan pemantauan sepanjang masa atau 24 jam.
“Ini melibatkan kawasan strategik yang menjadi tumpuan pelancong seperti Jalan Ampang-KLCC, Bukit Bintang Walk, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Medan Pasar, Dataran Merdeka dan lain-lain,” katanya menerusi hantaran Facebooknya semalam.
Kor Ming mengingatkan semua pihak kebersihan awam dan suasana yang kondusif amat penting untuk pembangunan industri pelancongan negara ini secara khusus dan kesejahteraan rakyat secara umum.
Menurut beliau, selain agensi kerajaan dan syarikat swasta, orang ramai terutama ibu bapa dapat mendidik anak supaya mencintai alam sekitar dan tidak ada lagi yang membuang sampah merata tempat.
“Saya harap syarikat Alam Flora mengambil tindakan segera meningkatkan khidmat pengurusan sampah selepas lawatan saya semalam.
“SW Corp di bawah KPKT akan sentiasa menjalankan kerja pemantauan demi imej negara dan keselesaan rakyat.” katanya. – MalaysiaGazette