Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir ke mahkamah pada hari keputusan sama ada dibebaskan atau disabitkan kesalahan atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar 369 sekolah luar bandar Sarawak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 01 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Mahkamah rayuan di sini hari ini menetepkan empat hari bermula 11 Julai depan bagi mendengar rayuan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengetepikan sabitan dan hukuman 10 tahun dan didenda RM970 juta oleh mahkamah tinggi.

Rayuan itu dibuat selepas Rosmah didapati bersalah atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bagi sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Peguam mewakili Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader memberitahu media sebentar tadi selepas pengurusan kes secara atas talian.

“Tarikh-tarikh bagi pendengaran rayuan itu ialah antara 11 hingga 14 Julai.

“Sebelum ini tarikh 22 dan 23 Jun telah dilapangkan. Pembelaan mahu lebih tiga hari bagi permohonan ini, mahkamah telah beri kita empat hari pada Julai ini,” katanya.

Peguam, Akberdin Abdul Kader (dua kiri) bersama pasukan peguamnya hadir ke mahkamah pada hari keputusan anak guamnya, Datin Seri Rosmah Mansor .

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yin Tinn turut mengesahkan perkara itu selain memberitahu semua pihak perlu memfailkan hujah bertulis paling lewat pada 9 Jun dan membuat balasan selewat-lewatnya 4 Julai.

Sebelum ini Akberdin dalam notis rayuan memaklumkan Rosmah tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan mahu merayu keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

Isteri bekas Datuk Seri Najib Razak itu telah membangkitkan 127 asas dalam rayuan tersebut, antaranya adalah mendakwa dalang sebenar kes rasuah itu ialah bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor.

Selain itu, beliau juga sebenarnya tidak mempunyai  kuasa untuk meluluskan sebarang projek kerajaan dan dakwaan hakim perbicaraan telah bersikap tidak adil terhadapnya.

Rosmah turut memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mohamed Zaini yang menolak permohonannya supaya hakim itu menarik diri daripada mendengar dan membuat keputusan dalam kes terbabit.

Mohamed Zaini sebelum ini  mendapati Rosmah gagal untuk menyangkal anggapan rasuah mengikut Seksyen 50 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

 Rosmah didakwa meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima suapan RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak, daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd iaitu Saidi Abang Samsudin.

Rasuah itu diterima melalui bekas pegawai khas suaminya, Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast