KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menafikan berlaku pergolakan politik di Sabah seperti yang digembar-gemburkan.
Datuk Seri Anwar berkata, perkara itu dizahirkan oleh kepimpinan Kerajaan Negeri Sabah menerusi panggilan telefon.
“Saya hubungi semua, Datuk Seri Hajiji Noor (Ketua Menteri Sabah), Datuk Seri Ahmad Zahid (Presiden UMNO), Datuk Seri Shafie Apdal (Presiden Warisan), Datuk Seri Bung Mokhtar (Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah).
“Malah berbincang dengan Ahmad Zahid, Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP) dan nampak keadaan tenang sementara ini dan saya tida fikir ada apa-apa gejolak yang berlaku,” katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Aman, hari ini.
Anwar diminta mengulas mengenai desas desus percubaan menggulingkan kerajaan negeri Sabah.
Ketika ditanya sama ada Kerajaan Negeri Sabah akan bertukar pemerintahan, Anwar berkata, perkara itu tidak akan berlaku buat masa ini.
“Saya nampak tidak ada apa-apa perkembangan cuma dimaklumkan ada beberapa isu dan saya minta ketua menteri bincang dengan baik dengan rakan-rakan di Sabah,” katanya lagi.
Semalam, dakwaan cubaan menukar Ketua Menteri Sabah gagal.
Gerakan yang dinamakan ‘Langkah Kinabalu’ itu dikatakan ada kaitan dengan gerakan daripada pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Barisan Nasional (BN).
Sidang media berasingan bersama Shafie dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin juga dibatalkan di saat-saat akhir. – MalaysiaGazette