KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menegaskan komitmennya untuk terus mempertahankan agama Islam, memartabatkan bangsa Melayu serta memelihara institusi Raja-Raja Melayu.

Dalam kenyataan menerusi sambutan ulang tahun ke-77 penubuhannya, pergerakan itu berkata, 26 Ogos 1949 menjadi titik sejarah penubuhan Pemuda UMNO di Butterworth yang melahirkan barisan anak muda bagi memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan tanah air.

Menurutnya, Pemuda UMNO memainkan peranan penting dalam perjuangan menentang Malayan Union serta menggerakkan orang Melayu untuk bangkit dan bersatu.

“Pada 1951, Pemuda UMNO memainkan peranan penting apabila seruan ‘Hidup Melayu’ digantikan dengan laungan ‘Merdeka’, tanda bahawa perjuangan anak muda ketika itu bukan sekadar mempertahankan maruah bangsa, tetapi membawa Tanah Melayu menuju sebuah negara yang merdeka,” katanya.

Pergerakan itu berkata, Pemuda UMNO juga pernah mendesak supaya pilihan raya diadakan selain mengangkat isu berkaitan ekonomi, pendidikan, Bahasa Melayu, Islam dan kebajikan orang Melayu.

Menurutnya, selepas 77 tahun, cabaran yang dihadapi mungkin berubah mengikut zaman, namun prinsip perjuangan tetap dipertahankan.

“Pemuda akan terus berdiri. Mempertahankan agama Islam, memartabatkan bangsa Melayu, memelihara institusi Raja-Raja Melayu, mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Pemuda UMNO turut menegaskan usaha menyatukan kembali orang Melayu akan terus menjadi antara keutamaan bagi memastikan bangsa itu kembali kuat, bersatu dan bermaruah.

“Kita tidak mewarisi perjuangan ini untuk melihatnya berakhir. Kita mewarisinya untuk meneruskan perjuangan.

“77 tahun dahulu mereka memulakan langkah. Hari ini, kita sambung perjuangan. Esok, kita tentukan masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here