Ahmad Yakob

TUMPAT – Kelantan sedang meneliti beberapa tanah negeri yang sesuai untuk dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa banjir, kata Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata, ia bukan sahaja untuk menampung bilangan PPS sedia ada di negeri itu, malah memberi kemudahan kepada mangsa banjir untuk berlindung di kawasan yang berdekatan dengan penempatan mereka.

“Musim banjir di Kelantan masih belum berakhir dan hujan lebat berterusan dijangka akan berlaku dalam masa terdekat, oleh itu kita akan teliti beberapa tanah kerajaan negeri yang sesuai untuk dijadikan PPS bagi menampung mangsa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Rumah Dhuafa’ di Kampung Laut, di sini, hari ini.

Ahmad turut menasihatkan orang ramai terutama di kawasan yang sering dinaiki air supaya sentiasa bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir melanda semula.

“Kita masih kekal dengan 442 PPS yang bersedia untuk dibuka bila-bila masa, malah semua aset daripada agensi berkaitan telah bersedia untuk diatur gerak memandangkan tempoh musim tengkujuh di negeri ini belum tamat,” katanya. – Bernama