Penyokong Harimau Malaya besorak meraikan jaringan selepas pasukan Malaysia berjaya membolosi pasukan Thailand pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 07 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Malaysia membawa kelebihan satu gol selepas berjaya menang tipis 1-0 ke atas Thailand dalam aksi separuh akhir pertama Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang telah berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Gol tunggal yang dibuka oleh Mohamad Faisal Abdul Halim cukup untuk mengesahkan kemenangan skuad kendalian Kim Pan Gon itu yang berdepan dengan pasukan pelawat yang dibarisi pemain berkualiti individu terbaik yang mendominasi 73 peratus permainan di atas padang sepanjang 90 minit sepenuh masa tamat.

Harimau Malaya telah ditekan sebaik sahaja wisel permulaan permainan ditiupkan oleh pengadil perlawanan, Kim Dae Yong.

Malah skuad kendalian Alexandre Polking itu beraksi lebih garang dan agresif di gawang Malaysia seawal minit kelima apabila Ekanit Panya melakukan hantaran jauh kepada Teerasil Dangda.

Ketua pasukan Malaysia, Muhammad Safawi Rasid (kiri) cuba melepasi dua pemain Thailand pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 07 JANUARI 2023.

Bagaimanapun, tandukan yang dilakukan peledak berbisa Thailand itu dalam kawasan penalti hanya melepasi palang gol.

Ketika Thailand terus mendominasi permainan, Malaysia berjaya mengambil kesempatan apabila Faisal Halim telah meletakkan tuan rumah di hadapan menerusi gol cantik pada minit ke-11 perlawanan selepas pemain pertahanan, Sharul Nazeem Zulpakar melakukan hantaran jauh kepada V. Ruventhiran.

Terkejut dengan jaringan tersebut, Thailand tanpa buang masa telah bangkit segera dengan menggandakan asakan dan bermula saat itu dan mendapat peluang berselang tiga minit kemudian.

Namun, penyudah pelawat yang kurang berkesan dengan kekebalan bek pertahanan negara berjaya menggagalkan usaha juara enam kali termasya itu.

Penyokong Harimau Malaya bersorak meraikan jaringan selepas pasukan Malaysia berjaya membolosi pasukan Thailand pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 07 JANUARI 2023.

Anak buah Pan Gon mendapat satu lagi peluang terbaik untuk menggandakan gol pasukan pada minit ke-28, namun, percubaan Quentin Cheng dalam kawasan penalti menerusi hantaran baik Faisal Halim telah melantun sedikit melepasi palang gol lawan.

Babak kedua bermula lebih baik dengan serangan pasukan pelawat serta keputusan pengadil yang nyata tidak disenangi kem skuad negara.

Thailand hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-47 apabila tandukan Teerasil Dangda selepas menerima hantaran kemas Suphanan Bureerat singgah di tiang gol.

Dae Yong menjadi tumpuan ketika permainan memasuki minit ke-55 selepas tandukan Dominic Tan ketika situasi sepakan percuma yang menerjah gawang gol lawan dibatalkan secara kontroversi oleh pengadil dari Korea Selatan yang mendakwa pemain negara melakukan kekasaran terhadap Kittipong.

Dominic Tan Jun Jin (tengah) gagal menanduk bola selepas penjaga gol Thailand, Kittipong Phoothawchuek berjaya menghalang serangan tersebut pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 07 JANUARI 2023.

Sementara itu, Syihan Hazmi membuktikan kemampuannya sebagai penjaga gol utama negara apabila beliau cemerlang dalam menafikan tiga percubaan berbahaya yang dilakukan pasukan Gajah Perang itu.

Permainan terus kekal 1-0 sehingga tamat permainan untuk memberikan sedikit bekalan buat skuad negara yang akan menghadapi aksi kedua di Stadium Thammasat pada 10 Januari nanti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast