KUALA LUMPUR – Tiga dalang kes samun pemandu kereta Perodua Myvi di petaling Jaya, Selangor pada Khamis lalu diberkas polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supt Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, ketiga-tiga suspek ditangkap di berkenaan dan Subang Jaya.

Jelas beliau, kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku berhampiran kawasan kejiranan pangsapuri di daerah Petaling Jaya.

“Semasa kejadian ketiga-tiga suspek memakai topi keledar visor gelap dan menutup muka dengan pelitup muka,” katanya mengenai kejadia yang tular di laman media sosial menerusi kenyataan, hari ini.

Tambahnya, polis turut merampas telefon bimbit pelbagai jenama, senjata tajam yang digunakan untuk menyamun, motosikal yang digunakan suspek dan kereta yang dilarikan

Menurut beliau, ketika kejadian ketiga-tiga suspek yang merupakan warganegara tempatan bersenjatakan sebilah parang panjang untuk menakutkan mangsa yang berusia 25 tahun.

Ku Mashariman berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette