Kanak-kanak berusia sembilan tahun ini masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah di dan berada dalam keadaan stabil.

JOHOR BAHRU – Polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes suami isteri dipercayai melakukan pengabaian selepas tidak menghantar anak lelaki mereka untuk rawatan kerana melecur akibat bermain api di timbunan sampah di Kampung Parit Kuchi, Pontian, 30 Dis lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kertas siasatan kemudian akan diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata pasangan berusia 36 dan 33 tahun yang ditahan pada 2 pagi, Rabu lepas ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian itu telah dibebaskan dengan jaminan polis.

“Siasatan awal mendapati, suami isteri ini merasakan memadai hanya membeli ubat di farmasi sahaja mungkin kerana melihat anak mereka boleh bertahan dengan ubat tersebut.

“Bagaimanapun siasatan masih dijalankan di bawah penganiayaan, mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata kanak-kanak berusia sembilan tahun itu masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah di sini dan berada dalam keadaan stabil.

Rabu lepas, Ketua Polis Daerah Pontian Supt Mohammad Shofee Tayib dilapor berkata terdapat kesan terbakar dan melecur di bahagian sendi, beberapa anggota badan di bahagian kanan badan hingga kaki, lengan kiri, kedua-dua paha dan telinga kanan mangsa akibat kejadian itu.

Mohammad Shofee dipetik berkata ibu bapa mangsa hanya membeli ubat tahan sakit serta ubat sapu di farmasi dan tidak membawa mangsa ke mana-mana hospital untuk rawatan.

Bagaimanapun, Mohammad Shofee berkata pihaknya mempercayai kanak-kanak itu tidak dibawa ke hospital untuk rawatan sebelum rakan kepada ibu mangsa yang mengetahui kejadian itu membuat laporan polis, Selasa lepas.

— BERNAMA