PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menerima kira-kira 54,000 permohonan untuk memperoleh kewarganegaraan Malaysia sejak 2017 hingga 2022.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dari jumlah itu, kira-kira 7,000 permohonan telah diluluskan dan kira-kira 36,000 permohonan sedang diproses.
“Saya ambil rekod 2017 hingga 2022, yang mengangkat permohonan untuk warganegara jumlahnya 54,000 dan yang telah kita luluskan sehingga sekarang ini adalah 7,000 permohonan.
“Yang kita sedang proses ini 36,000 permohonan, yang lain itu ada yang gagal ataupun kita batalkan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau bersama timbalannya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasaran mengadakan lawatan kerjanya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di sini, hampir tiga jam.
Dalam pada itu, Saifuddin tidak menolak kemungkinan jumlah tinggi permohonan untuk menjadi warganegara Malaysia disebabkan kestabilan dan kemakmuran negara ini.
“Sekarang ini ada 54,000 nak jadi warganegara kita kerana kestabilan politik, kemakmuran ekonomi, rakyat kita bagus, kondusif, sebab itu mereka nak datang.
“Saya akan mempergiatkan perbincangan dengan warga kerja KDN untuk melihat aspek ini dipercepatkan permohonan ini,” katanya.
Bagaimanapun Saifuddin memberi jaminan, pihaknya tidak akan menggadai soal keselamatan dalam membuat pertimbangan kepada permohonan itu.
“Sudah tentu bila kita letakkan asas kerja untuk maksud mempercepatkan permohonan, kita tentu ambil kira kita nak capai berapa.
“Ianya mesti spesifik, boleh diukur, mesti boleh dicapai, munasabah dan mesti ada garis masa,” katanya. – MalaysiaGazette