Perbincangan yang berlangsung dengan pihak berkepentingan.-Foto Media Azalina

KUALA LUMPUR – Pembayaran pampasan oleh tertuduh kepada mangsa eksploitasi seksual kanak-kanak antara isu yang dibincangkan dalam sesi libat urus berkaitan cadangan pindaan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan Akta keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Akta 676).

Sesi libat urus melibatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan pihak-pihak berkepentingan berlangsung di sini hari ini.

Turut melakukan pembentangan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal, Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Dr. Farah Nini Dusuki dan Pakar Perlindungan Kanak-Kanak UNICEF Malaysia S. Selvi.

Wakil-wakil yang hadir dalam sesi libat urus di Kuala Lumpur hari ini- Foto Media Azalina

Penyelarasan umur kanak-kanak kepada 18 tahun dalam akta-akta serta keperluan untuk menambah baik fasiliti yang sedia ada di mahkamah antara perkara yang dibincangkan.

Turut disentuh penerimaan keterangan saksi kanak-kanak oleh mahkamah tanpa keterangan sokongan, isu peruntukan undang-undang yang baharu untuk membendung eksploitasi seksual secara dalam talian terhadap kanak-kanak, bantuan pemulihan untuk mangsa dan saksi kanak-kanak serta memperkasakan perkhidmatan pendamping guaman yang sedia ada.

Pihak terbabit turut membincangkan isu kewujudan elemen tanggungan keras (strict liability) dalam undang-undang berkaitan kesalahan seksual kanak-kanak dalam keadaan tertentu dan pemberian kuasa kepada pihak berkuasa untuk mengekstrak keterangan daripada alat digital dan komunikasi.

“Kerajaan sentiasa peka tentang isu penganiayaan kanak-kanak. Justeru, pindaan terhadap akta yang berkaitan adalah penting bagi memastikan keberkesanan sistem pengadilan jenayah dalam mengendalikan kes kesalahan seksual yang melibatkan kanak-kanak,” kata Azalina.

Tambah beliau, kerajaan komited dalam penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak sebagai suatu badan bebas yang dapat memantau dan memelihara hak kanak-kanak.

Bagaimanapun penubuhan suruhanjaya berkenaan memerlukan pandangan pelbagai pemegang taruh dan juga penggubalan suatu Akta.

Sebagai penyelesaian jangka masa pendek, Kerajaan berhasrat untuk mewujudkan pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak di bawah SUHAKAM.

Sesi libat urus berlangsung di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia.

Turut hadir adalah wakil dari Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Digital.

Juga hadir wakil Jabatan Peguam Negara, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, SUHAKAM dan Majlis Peguam.

Selain itu, wakil Family Frontiers, Pasukan Pencegah Penganiyaan dan Pengabaian Kanak-Kanak serta badan bukan Kerajaan yang lain berkaitan juga diundang dalam sesi libat urus.-MalaysiaGazette