Pas DAP PASrelief
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas tidak berasa hairan kerana mendapat tentangan daripada parti seperti DAP dan lain-lain parti, yang nyata ideologinya menentang Islam walaupun kini bertukar nada kepada tidak bersuara secara terang-terangan.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, hal itu disebabkan mereka sudah berjaya mengadakan pasukan baharu, dalam kalangan rakan-rakan berwajah Islam yang berwalikannya.

Beliau menyifatkan mereka itu laksana kayu bersama mata kapak bagi menebang pokok besar, mengambil pendekatan menipu dengan segala cara, seperti melaksanakan amar makruf secara terpilih dan menjadi syaitan bisu terhadap kemungkaran yang nyata.

“Bahkan, secara nyata mereka juga bergabung dengan semua kumpulan liberal dari segi politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan media, tanpa batas akhlak dan halal haram.

“Semuanya demi mencukupkan jumlah sokongan yang dapat menghalang pengaruh Islam dalam kerajaan, walaupun mereka berlindung sementara waktu sebalik Islam dalam perlembagaan mengikut tafsiran yang salah oleh mereka yang buta al-Quran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu memberitahu, gabungan berkenaan turut disertai kluster mahkamah dan mereka yang sedang menunggu perbicaraan kerana kes rasuah yang berskala besar serta termasuk kesalahan-kesalahan lain yang bersedia dengan umpan untuk diselamatkan.

Menurut beliau, apabila Pas hanya berkuasa di peringkat negeri sahaja mengikut konsep federalisme, walaupun dengan kuasa yang sangat terbatas, negeri-negeri itu tetap disusahkan dengan pelbagai cara, halangan dan penentangannya yang nyata dan tersembunyi.

“Sekalipun tindakan yang diambil itu jelas membelakangi konsep federalisme dan adab demokrasi yang diamalkan di negara barat sendiri yang menjadi rujukan mereka,” jelasnya.

Abdul Hadi menambah, adalah tidak menghairankan kerajaan di luar tabii demokrasi ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) setelah Pas berjaya mendapat jumlah kerusi terbesar.

“Walaupun Pas telah berusaha bersama dalam Perikatan Nasional (PN) daripada pelbagai parti yang tidak ekstrem untuk menubuhkan kerajaan campuran mengikut prosesnya tanpa Pas menjadi pemimpin utama,” katanya.

Beliau mendakwa, sekiranya ada negara Islam yang diizinkan mengamalkan demokrasi, namun negara itu tetap diharamkan Islam daripada berkuasa mengambil alih kerajaannya.

Abdul Hadi berkata, hanya parti Islam yang lemah sahaja terus diizinkan berkuasa sekadar menjadi gula-gula.

“Adapun parti Islam yang kuat dapat memenangi pilihan raya pasti akan dijatuhkan atau dihalang dengan pelbagai cara yang tidak demokratik,” katanya. – MalaysiaGazette