Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat (tengah) bergambar bersama barisan hakim pada Majlis Pembukaan Perundangan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto MUHD NA’IM, 09 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Hakim yang membuat keputusan dalam satu-satu kes tidak mempunyai agenda peribadi.

Sebaliknya, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, agenda para mereka hanyalah melaksanakan undang-undang dan keputusan yang dibuat berdasarkan peruntukan sedia ada.

Serentak itu, beliau menyatakan penghargaan kepada rakyat yang menyokong segala keputusan yang dibuat oleh badan kehakiman.

“Memang betul dalam setiap kes yang mahkamah putuskan ada pihak yang berpuas hati dan ada yang tidak berpuas hati. Itu lazim.

“Yang menjadi luar biasanya dalam kes melibatkan tokoh-tokoh tertentu ini adalah sokongan atau kecaman agak luar biasa. Umum mengetahui saya sendiri mendapat ancaman bunuh. Serius atau tidak itu soal lain.

“Namun di masa sama, kita melihat sokongan luar biasa kepada badan kehakiman. Untuk itu, saya mengambil kesempatan menyatakan penghargaan masyarakat keseluruhan yang memahami bahawa dalam setiap keputusan yang kita buat kita tidak ada agenda tertentu. Agenda kita hanyalah undang-undang,” katanya.

Tambah beliau, daripada pemerhatian beliau, komen dan ulasan melampau biasanya melibatkan kes tokoh-tokoh tertentu.

Menurut Tengku Maimun, kebanyakan komen yang diluahkan lebih bersentimenkan politik berbanding perbincangan intelektual berkaitan undang-undang.

“Umum mengetahui bila mahkamah mendengar kes yang melibatkan tokoh atau personaliti tertentu memang pandangan awam lebih tertumpu berbanding kes-kes biasa yang dikendalikan.

“Dalam keadaan ini apa yang saya perhatikan bila melibatkan tokoh-tokoh tertentu, komen yang diberikan tentang penghakiman mahkamah itu agak keterlaluan dan berat sebelah.

“Komen-komen yang tidak objektif dan berbau politik. Bukannya komen-komen membina yang membolehkan perbincangan secara intelektual seperti membicarakan isu legal,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tengku Maimun berharap masyarakat lebih memahami struktur atau proses perundangan sebelum mengeluarkan kenyataan yang menunjukan mereka kurang kefahaman mengenai undang-undang.

Beliau sebelum itu menyampaikan ucapan pada majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2023 yang berlangsung di sini hari ini.

Dalam ucapannya, Tengku Maimun menyarankan masyarakat membaca pernyataan kehakiman yang boleh diakses secara dalam talian sebelum membuat sebarang ulasan mengenainya.

“Alasan penghakiman yang ditulis oleh hakim boleh diakses dalam talian oleh orang ramai. Kemudahan akses sedemikian, saya harap, diterjemahkan kepada lebih baik memahami fungsi kehakiman.

“Sehubungan itu, saya menggesa orang ramai membaca penghakiman secara menyeluruh sebelum membuat pendapat dan menjatuhkan badan kehakiman kepada sebarang bentuk fitnah,” tegas beliau.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast