Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming melawat ruang pameran selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 di Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 09 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Dalam usaha menghargai serta mengiktiraf komitmen kerja warganya, Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) bakal memberikan anugerah kepada kakitangannya yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan sepanjang tahun ini.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, Anugerah Kecemerlangan Menteri KPKT itu julung-juung kali diadakan dan layak disertai oleh kira-kira 20,000 warga kerjanya.

Katanya, penghasilan anugerah itu telahpun dibincangkan bersama dengan Ketua Setiausaha dan Timbalan Ketua Setiusaha KPKT sebagai satu cara untuk menaikkan semangat kerja yang lebih komprehensif kepada rakyat.

“Kita telahpun meneliti ada 12 kategori sama ada individu dan juga pasukan. Butiran-butiran itu juga akan dimuat naik mulai akhir minggu ini dan seluruh warga KPKT layak untuk mendapatkan tawaran ini.

“Saya jangkakan majlis penyampaian anugerah diadakan pada penghujung tahun ini bulan November nanti,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat Tahun Baharu 2023, di kementeriannya di sini, hari ini.

Kor Ming berkata, bagi tujuan itu, satu jawatankuasa ditubuhkan bagi membuat penilaian mereka yang layak untuk menang.

Katanya, anugerah tersebut menawarkan hadiah-hadiah yang menarik antaranya wang tunai, sijil penyertaan dan piala.

Apa yang menarik kata beliau, pemenang anugerah turut berpeluang untuk mendapat kenaikan pangkat dimana beliau sendiri akan menyerahkan nama yang layak kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi tujuan berkenaan.

Tambah beliau lagi, anugerah berkenaan layak untuk disertai oleh semua warga kerja KPKT sama ada dari peringkat bawah mahupun pegawai tertinggi. – MalaysiaGazette