ABUJA – Sekumpulan lelaki bersenjata telah menyerang stesen kereta api di Igueben, di negeri Edo, selatan Nigeria, dan menculik ramai penumpang yang sedang menunggu pengangkutan tersebut.
Jurucakap polis di negeri itu, Chidi Nwabuzor berkata, kumpulan bersenjata itu bersenjatakan senapang AK-47.
Katanya, jumlah sebenar orang yang diculik tidak dapat dipastikan.
Nwabuzor menyifatkan lelaki bersenjata itu sebagai ‘penggembala’, kumpulan bersenjata yang pernah menternak lembu tetapi telah menjadi penjenayah sepenuhnya, membunuh dan menculik orang sesuka hati di seluruh negara.
“Penculik menembak secara ke udara sebelum menculik beberapa penumpang menyebabkan beberapa orang cedera.
“Operasi bagi menyelamatkan mangsa dan menangkap penculik yang melarikan diri sedang dijalankan. Perkembangan selanjutnya akan dimaklumkan,” menurut polis dalam satu kenyataan.
Nigeria Railway Corporation (NRC) mengumumkan penutupan stesen kereta api sementara waktu sehingga diumumkan kelak.
Insiden di negeri Edo berlaku beberapa bulan selepas lelaki bersenjata menyerang kereta api yang sedang bergerak di negeri Kaduna, barat laut Nigeria.
Media tempatan melaporkan beberapa orang terbunuh dalam serangan itu dan berpuluh-puluh yang lain diculik.
Ramai daripada mangsa yang diculik kemudian dibebaskan selepas membayar wang tebusan manakala yang lain dibebaskan selepas rundingan antara kerajaan dan penculik.
Insiden Edo adalah serangan pertama seumpama itu ke atas kemudahan kereta api di selatan Nigeria.
Bagaimanapun, negeri itu telah menyaksikan perbuatan jenayah besar yang lain pada masa lalu termasuk serangan ke atas penjara, yang mana berpuluh-puluh banduan melarikan diri. – Agensi