KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik menafikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan jawatan dalam kerajaan kepada beliau.
Bekas Menteri Pendidikan itu membuat penjelasan tersebut setelah media dan ramai pihak mentafsirkan teguran Anwar baru-baru ini sebagai tawaran jawatan terhadapnya.
Maszlee berkata, beliau tidak menyebut tentang perkara tersebut dalam hantaran Facebook miliknya, kelmarin.
“Apa yang pasti ia merupakan teguran oleh Perdana Menteri untuk saya kembali aktif membantu parti (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) menjelang pilihan raya negeri (PRN) di negeri-negeri yang diperintah oleh PH sekarang, terutamanya Selangor dan Negeri Sembilan.
“Saya pun telah bersetuju dan menawarkan diri membantu Menteri Besar di kedua-dua buah negeri untuk pusing keliling Selangor dan Negeri Sembilan di dalam waktu terdekat,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Dalam hantaran Facebook yang mencetuskan spekulasi itu, Anwar seperti dipetik oleh Maszlee berkata, “Bersedia sahaja, cuti rehat anda akan berakhir tidak lama lagi.”
Selain itu, Maszlee memberitahu, beliau juga telah menawarkan diri kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk turun ke sekolah-sekolah bertemu para guru untuk memberikan motivasi dan menaikkan semangat mereka terutamanya dalam usaha memulihkan murid-murid pasca Covid-19.
“Melalui jerayawara itu juga diharapkan saya akan dapat membawa inspirasi dan suara Menteri Pendidikan serta kerajaan kepada para guru untuk terus membangunkan pendidikan,” jelasnya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berbaik sangka dan menaruh harapan terhadapnya.
“Jawatan? Tiada apa yang dijanjikan. Apa yang diminta ialah pengorbanan demi rakyat setakat ini,” katanya. – MalaysiaGazette