Pegawai MOTAC yang fasih berbahasa Mandarin ditempatkan di lapangan terbang antarabangsa.-Foto FB Tiong King Sing

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) telah menyediakan ‘meja bantuan’ untuk memudahkan pelancong dari negara China yang hadir ke negara ini.

Menteri Datuk Seri Tiong King Sing dalam media sosialnya turut berkongsi tiga keping foto pegawai MOTAC bertugas di reruai yang disediakan yang tertulis ‘Chines Traveler Helpdesk‘ dan ‘May I help?’.

“Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan akan menghantar pegawai berbangsa Cina ke lapangan terbang antarabangsa di seluruh negara untuk mengelakkan masalah komunikasi bahasa Inggeris yang lemah di lapangan terbang dan Jabatan Imigresen.

“MOTAC akan menyelaraskan dengan pihak lapangan terbang dan imigresen, membantu urusan masuk dan keluar lapangan terbang antarabangsa di pelbagai negeri di seluruh negara.

“Untuk membantu menyelaras supaya pelancong China mendapat keyakinan dalam perjalanan mereka,” katanya dalam kenyataan yang ditulis dalam bahasa Mandarin hari ini.

Katanya, China telah menutup sempadannya selama lebih tiga tahun, dan dijangka sejumlah besar pelancong dari negara itu akan memasuki Malaysia untuk pelancongan.

Bagi menerima dan mengalu-alukan pelancong China dengan lebih baik, MOTAC telah mengesyorkan penyediakan saluran yang mudah di lapangan terbang antarabangsa.

Pegawai MOTAC yang fasih berbahasa Mandarin ditempatkan di lapangan terbang antarabangsa.-Foto FB Tiong King Sing

Langkah ini supaya penumpang dari pesawat penumpang China boleh berurusan dengan pihak kastam dalam masa yang lebih singkat apabila memasuki negara ini.

Ini juga bagi memudahkan serta tidak menjejaskan masa pelepasan pelancong asing lain.

Katanya, langkah yang diambil ini akan memaksimumkan persahabatan dan sambutan terhadap pelancong China.

“Ia juga mengambil kira kesihatan dan keselamatan pelancong China.

“Pada masa yang sama, saya berterima kasih kepada Jabatan Imigresen kerana bersetuju untuk membuka akses mudah ke negara kita, supaya kita dapat menerima pelancong dari semua negara dengan lebih baik,” katanya.

King Sing sebelum ini dilaporkan berkata, kementerian akan menempatkan pegawai yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Mandarin di semua lapangan terbang antarabangsa di seluruh negara.

Beliau berkata, kehadiran pegawai berkenaan bagi membantu kelancaran di pintu sempadan terutamanya melibatkan pelancong dari China yang lemah berbahasa Inggeris.

China membuka semula sempadannya pada Ahad selepas tiga tahun sekatan yang dilaksanakan berikutan pandemik Covid-19.

Pada 26 Disember, Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China mengumumkan tahap Covid-19 diturunkan daripada Kelas A kepada Kelas B.- MalaysiaGazette