Tun Tengku Maimun Tuan Mat. Foto MUHD NA’IM, 09 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bebas untuk mengambil sebarang langkah bagi meminta dibebaskan atau dibicarakan semula.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, tindakan Najib itu bukan sesuatu yang perlu diberi perhatian oleh badan kehakiman.

Tengku Maimun berkata, tugas badan kehakiman terhadap kes Najib tamat sebaik sahaja mereka menjatuhkan keputusan.

“Apa sahaja yang beliau mahu lakukan selepas kami buat keputusan ia terpulang kepada beliau. Bukan sesuatu yang perlu kami hiraukan.

“Kami sudah laksanakan tugas yang diamanahkan melalui keputusan yang dibuat terhadap kes tersebut. Tugas kami tamat selepas menjatuhkan hukuman.

“Apa sahaja yang ingin beliau buat melibatkan organisasi dan langkah lain adalah di luar peranan kami. Saya tidak berada dalam posisi untuk memberi ulasan berkaitan tindakan yang ingin beliau ambil,” kata Tengku Maimun.

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan Najib yang memfailkan petisyen kepada Kumpulan Kerja Penahanan Arbitari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWGAD).

Tengku Maimun berkata, tindakan tersebut tidak memberi apa-apa kesan ke atas badan kehakiman negara.

“Saya tidak ingin sebarang komen selain fakta bahawa badan kehakiman tidak menerima sebarang kesan selepas keputusan dibuat terhadap apa sahaja tindakan yang ingin beliau ambil. Terpulang sepenuhnya kepada beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan pada majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2023 yang berlangsung, di sini, hari ini.

Pada 5 Januari lalu peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, anak guamnya memohon panel UNWGAD membabitkan lima pakar keadilan antarabangsa memutuskan bahawa penolakan rayuannya pada 23 Ogos lalu adalah tidak adil, melanggar hak asasi manusia dan Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan juga didakwa gagal memberi peluang munasabah dan masa yang mencukupi kepada pasukan pembelaan Najib untuk berhujah mengenai kesnya.

Katanya, UNWGAD yang akan meneliti rayuan akan menentukan sama ada perbicaraan melibatkan Najib adil atau sebaliknya.

UNWGAD yang akan meneliti rayuan itu membabitkan lima hakim hak asasi manusia yang terkenal. Mereka tidak akan dipanggil untuk memutuskan sama ada Najib bersalah atau tidak tetapi untuk menentukan sama ada perbicaraannya adil.

“Jika tidak adil, Najib boleh meminta kerajaan membebaskannya atau memberi perbicaraan semula.

“Walaupun keputusan ini tidak menjejaskan secara langsung, ia amat memberi impak kerana Malaysia mempunyai ahli perundangan yang terkenal dan kini menjadi ahli kumpulan kerja terbabit,” katanya pada sidang media. – MalaysiaGazette