KUALA LUMPUR – Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) menandatangani Perjanjian Induk (HoA) untuk menjual 25 peratus kepentingannya dalam Petronas Chemicals Fertilizer Sabah Sdn Bhd (PCFS) kepada SMJ Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh kerajaan Sabah.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SMJSB, Dr. Dionysia Aloysius Kibat dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof di hadapan Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah merangkap Menteri Kewangan ll dan Naib Presiden Kanan, Penyampaian Projek & Teknologi Petronas, Datuk Bacho Pilong.

Mohd Yusri berkata, penjualan itu adalah sebahagian daripada usaha strategik PCG untuk meletakkan kedudukannya sebagai rakan kongsi pilihan dalam membentuk dan menyampaikan aspirasi PCG untuk mengekalkan dan mengembangkan perniagaan petrokimia di Sabah.

”Kami menghargai peluang untuk terus menyumbang kepada pembangunan Sabah. Kami mengalu-alukan SMJ sebagai rakan kongsi strategik kami, yang mana mereka akan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan PC FSSB sambil memberikan nilai tambah kepada sumber gas negeri,” katanya.

Penjualan itu dijangka selesai pada 2023, tertakluk kepada syarat-syarat terdahulu dalam perjanjian yang dipenuhi.

PCG memegang 100 peratus kepentingan dalam PCFS, syarikat yang terletak di Sipitang, Sabah dengan kapasiti pengeluaran ammonia dan urea sebanyak 1.9 juta tan setahun

PC FSSB ditubuhkan pada 2011 untuk membina, memiliki dan mengendalikan kompleks pengeluaran ammonia dan urea bersepadu di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) di daerah perbandaran Sipitang, Sabah.

Ia terletak kira-kira 150 kilometer di selatan Kota Kinabalu dan 20 kilometer di selatan Sipitang mempunyai kemudahan pengeluaran ammonia dan urea berskala dunia dan direka untuk menghasilkan 1.9 juta tan metrik setahun ammonia dan urea serta merupakan loji ammonia dan urea kereta api tunggal terbesar di Asia Tenggara, dan loji urea ketiga terbesar di Asia Pasifik. – MalaysiaGazette