Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut dengan perbarisan kehormat sebaik tiba di Istana Kepresidenan Bogor pada Isnin ketika sambutan rasmi sempena lawatan rasmi dua hari beliau ke Indonesia bermula semalam. Turut sama Presiden Indonesia Joko Widodo.

BOGOR (Jawa Barat) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Indonesia, hari ini mengadakan pertemuan bersama Presiden Indonesia Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi di Istana Kepresidenan Bogor.

Sejurus tiba di kompleks pejabat eksekutif dan kediaman rasmi presiden pada hari kedua lawatan, beliau dengan tradisi bersongkok yang sering dipakai untuk menghadiri acara tertentu demi martabatkan budaya, diberikan sambutan karpet merah oleh Jokowi.

Lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan diikuti dengan tembakan meriam, sebelum Anwar sambil diiringi Jokowi memeriksa barisan kawalan kehormat yang terdiri daripada anggota pasukan keselamatan presiden.

Perdana Menteri kemudian diperkenalkan dengan Menteri Kabinet Indonesia, diikuti upacara menanam pokok jenis merawan (hopea odorata) di halaman belakang, dan melawat kawasan istana, sebelum kedua-dua pemimpin meneruskan agenda perbincangan.

Anwar diiringi Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Adlan Mohd Shaffieq.

Kedua-dua pemimpin dijangka berbincang dan menilai kerjasama dua hala selain meneroka peluang kerjasama baharu.

Semalam, Anwar berkata ada 12 perkara yang disenarai untuk dibincangkan.

— BERNAMA