BN Kerajaan Perpaduan
Mohamad Hasan bersama jentera BN pada hari penamaan calon PRU-15 di Rembau pada 5 November lalu.

SENARIO politik di Negeri Sembilan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan menjelang pilihan raya negeri (PRN) tahun ini memang agak unik. Boleh dikatakan secara tidak rasminya, pembangkang tidak wujud di negeri itu.

Dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat, kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dikuasai oleh parti-parti yang kini berada dalam kem yang sama.

Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerajaan negeri menguasai 20 kerusi DUN yang disandang 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, enam ADUN PKR dan tiga ADUN Parti Amanah Negeri (Amanah).

Barisan Nasional (BN) yang secara rasminya masih di blok pembangkang menguasai 16 kerusi DUN yang mana 15 kerusi disandang ADUN UMNO dan satu kerusi ADUN MIC.

Hari ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyatakan bahawa PH di negeri itu bersedia untuk bekerjasama dengan BN bagi menghadapi PRN.

Setakat ini, masih belum ada sebarang kenyataan daripada Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung perkara tersebut.

Pada 15 Disember lalu, beliau menyatakan, BN belum membincangkan kerjasama dengan PH bagi menghadapi PRN di enam negeri termasuk Negeri Sembilan.

Sekiranya saranan untuk bekerjasama itu disahut, BN terpaksa melupakan cita-cita menawan semula Negeri Sembilan setelah terlepas ke tangan PH pada PRU-14.

Melihat kepada keputusan di lapan kerusi Parlimen pada PRU-15, BN mempunyai peluang yang cerah untuk kembali sebagai parti yang dominan di Negeri Sembilan.

Di atas kertas, BN atau UMNO mampu memenangi semula lima kerusi tradisinya iaitu Labu, Lenggeng, Paroi, Klawang dan Pilah serta mempertahankan 16 kerusi yang disandang.

Jika sasaran itu dapat dicapai, BN berupaya memenangi sekurang-kurangnya 21 kerusi sekali gus membolehkannya beroleh majoriti yang selesa untuk membentuk kerajaan negeri.

Namun, senario politik menjelang PRN Negeri Sembilan pasti berubah sekiranya kerjasama antara PH dan BN menjadi kenyataan di mana kedua-dua parti membentuk pakatan pilihan raya menentang Perikatan Nasional (PN).

Dari sudut positif, pertembungan tiga penjuru dapat dielakkan serta jentera PH dan BN dapat digabungkan untuk memantapkan lagi gerak kerja kempen PRN.

Cuma, tidak dapat dipastikan setakat manakah PH dan BN bersedia untuk bertolak ansur dari segi pembahagian kerusi terutamanya di Labu, Lenggeng, Paroi, Klawang dan Pilah.

Selain itu, tahap penerimaan jentera dan penyokong tegar kedua-dua parti tidak dapat diukur dengan pasti. Mungkin pucuk pimpinan boleh berpakat tetapi akar umbi lain pula ceritanya.

Faktor sokongan akar umbi tidak boleh dipandang ringan kerana tidak mustahil mereka beralih mengundi pihak lawan atau tidak keluar mengundi sekiranya keputusan yang dibuat pucuk pimpinan parti dirasakan tidak mewakili suara mereka.

Pimpinan tertinggi BN dan UMNO khususnya Mohamad perlu mempertimbangkan semasak-masaknya ‘tawaran kerjasama’ yang dihulurkan oleh Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan.

Dalam hal itu, sanggupkah BN mengorbankan Negeri Sembilan demi mempertahankan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan? Terpulang kepada mereka untuk menentukan jawapannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast