endemic transition phase Covid-19
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekali lagi menegaskan tidak ada vaksin Covid-19 yang didakwa telah tamat tempoh.

Ini kerana, kesemua vaksin yang telah melepasi ujian Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah pun dipanjangkan tarikh luputnya sehingga enam bulan kesetahun bergantung pada data kestabilan vaksin berkenaan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Malah, beliau berkata, vaksin berkenaan juga masih berkualiti dan selamat bagi kegunaan masyarakat pelbagai lapisan.

“Ketika NPRA meluluskan vaksin tersebut kita melihat kepada data kestabilan vaksin itu dan jangka masa kestabilan itu tidak ada.

“Tapi, bila data-data menyatakan kestabilan itu lebih panjang, jadi kita panjangkan walaupun pada label dibotol telah luput,” katanya ketika soal jawab pada sesi Libat Urus Bersama Media di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini, hari ini.

Hadir sama pada sesi libat urus berkenaan, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa serta Pengarah-Pengarah Kanan KKM.

Dr Noor Hisham berkata demikian, susulan masih terdapat laporan bahawa ada pihak-pihak tertentu yang ragu dengan vaksin Covid-19 apabila didapati sudah tamat tempoh dan tidak sesuai untuk diberikan kepada orang ramai.

Sebelum ini, Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM, Norhaliza A, Halim dilapor berkata, KKM memantau secara berterusan bekalan dan tarikh luput vaksin Covid-19 yang diterima oleh Pusat Simpanan Vaksin (PSV) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Katanya, pemantauan itu dilakukan dengan mengguna pakai Sistem Pengurusan Vaksin (VMS) selain sistem inventori sedia ada yang terdapat di fasiliti terlibat dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menurut Norhaliza, penentuan jangka hayat produk farmaseutikal termasuk vaksin Covid-19 ditetapkan berdasarkan ujian kestabilan produk vaksin yang dijalankan pengilang pada masa nyata untuk suhu penyimpanan tertentu.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, orang ramai tidak perlu bimbang untuk mendapatkan suntikan vaksin kerana KKM memberikan kelulusan bersyarat dan ada data-data terkini pada vaksin tersebut.

Ujarnya, vaksin itu dibuat dalam jangka masa yang pendek ketika Covid-19 melanda dan memerlukan masa yang panjang sedikit untuk lihat kestabilan vaksin tersebut. – MalaysiaGazette