Stesen kereta api Gare du Nord dikawal ketat oleh pasukan keselamatan selepas serangan pisau. foto Twitter

PARIS – Enam orang cedera dengan seorang dalam keadaan kritikal selepas serangan pisau di stesen Gare du Nord, dekat sini.

Menteri Dalam Negeri Gerald Darmanin berkata, penyerang itu berjaya dihalang oleh dua pegawai polis yang hendak pulang selepas selesai syif.

Beliau berkata, lelaki itu ditembak tiga das dan dibawa ke hospital selepas cedera parah.

Pihak berkuasa sedang cuba mengenal pasti motif serangan berkenaan.

Serangan berlaku pada 06.42 (05:42 GMT) – dalam masa satu minit kesemua enam orang cedera dan penyerang itu dapat dihentikan.

Darmanin berterima kasih kepada polis atas campur tangan mereka yang “berani dan berkesan”, hingga berjaya menyelamatkan banyak nyawa.

Beliau menambah, antara yang cedera ialah seorang anggota pasukan sempadan.

Polis masih belum menamakan penyerang itu, yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri semasa dia dibawa ke hospital.

Insiden itu menyebabkan kelewatan perjalanan kereta api di stesen itu yang pada kebiasaannya cukup sibuk pada awal pagi kerana polis mengepung stesen dan memasang tirai putih besar di sekitar lokasi serangan.

Paris Gare du Nord ialah salah satu stesen kereta api antarabangsa tersibuk di Eropah dengan kira-kira 700,000 pengembara sehari. – Agensi