KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada Tan Sri Michelle Yeoh.

Pelakon tersebut menjadi rakyat pertama negara ini yang meraih Anugerah Golden Globe.

Michelle dinobatkan anugarah tersebut bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi di Los Angeles, Amerika Syarikat, hari ini.

Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, baginda berdua menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan beliau yang sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Selain itu ia juga sekali lagi membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat antarabangsa.

“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Tan Sri Michelle Yeoh dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan,” kata Istana Negara.

Tan Sri Michelle Yeoh memenangi anugerah tersebut bagi lakonannya dalam filem “Everything Everywhere All At Once”.

Beliau menewaskan pesaing iaitu Lesley Manville yang membintangi “Mrs. Harris Goes to Paris”, Anya Taylor-Joy (The Menu); Emma Thompson (Good Luck To You, Leo Grande) dan Margot Robbie (“Babylon”).-MalaysiaGazette