Saaarani Mohamad

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Datuk Seri Saarani Mohamad atas pemergian ibu Menteri Besar Perak itu, Aminah Mohd Yusuf.

“Saya turut berduka dan mendoakan semoga Allah SWT ampuni rohnya dan ditempatkan di kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya menerusi catatan di laman Facebook rasmi beliau hari ini.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua pada usia 79 tahun di kediaman rasmi Menteri Besar Perak di Jalan Raja Dihilir, Ipoh, kira-kira 11.15 malam tadi.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Raban, Lenggong, Perak kira-kira 11.30 pagi tadi.

Aminah meninggalkan sembilan orang anak termasuk Saarani yang merupakan anak sulung.

— BERNAMA