KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengumumkan maklumat terperinci Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing (PKPPA) dalam masa terdekat.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, kemudahan dan kelonggaran yang dirangka bukan untuk tempoh selama-lamanya.
Sebaliknya, ia bersifat unprecedented (belum pernah berlaku sebelum ini) bagi memenuhi keperluan pembangunan ekonomi negara.
“Kerajaan akan sentiasa memastikan pengurusan pekerja asing di Malaysia sentiasa berlandaskan kepada kedaulatan undang-undang negara dan pada masa yang sama menjamin bahawa semua pekerja asing yang berada di Malaysia dilindungi haknya secara saksama,” katanya dalam satu kenyataan.
Saifuddin hari ini mempengerusikan Mesyuarat Khas Pengurusan Pekerja Asing yang dihadiri oleh menteri-menteri dan pegawai-pegawai kanan dari kementerian dan agensi yang terlibat secara langsung dalam pengurusan pekerja asing.
Mesyuarat tersebut susulan keputusan Jemaah Menteri pada 7 dan 21 Disember 2022 yang bertujuan untuk memudah cara kemasukan pekerja asing .
Ia bertujuan untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara ke tahap yang lebih baik pada tahun 2023, khususnya pada suku pertama tahun 2023.
Dianggarkan bahawa ekonomi negara akan meningkat sebanyak 1% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sekiranya kemasukan pekerja asing dipercepatkan untuk memenuhi keperluan sektor-sektor yang berkaitan.
Media semalam melaporkan, Putrajaya telah memutuskan untuk melonggarkan peraturan pengambilan pekerja asing di Malaysia dengan menghapuskan prasyarat sedia ada sambil membenarkan pengambilan dijalankan mengikut keperluan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PKPPA baharu akan membolehkan majikan mengambil pekerja asing dari 15 negara berdasarkan apa yang mereka mampu dan perlukan tanpa kekangan sebarang prasyarat atau kuota.
Satu siri lawatan kerja oleh delegasi Malaysia akan dianjurkan ke negara sumber untuk membincangkan perkara berkaitan keselamatan dan kesejahteraan pekerja asing di Malaysia.
Putrajaya juga akan melaksanakan Pelan Penentukuran Semula Pendatang Asing Tanpa Izin 2.0 (IIRP) khusus untuk Program Penentukuran Semula Tenaga Manusia (MRP) sehingga Disember 2023.
Perbezaan pada Pelan Rekalibrasi PATI 2.0 adalah penetapan syarat-syarat yang lebih fleksibel tanpa mengenepikan elemen keselamatan dalam negara.
Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin yang dilaksanakan sehingga 31 Disember 2022 menyaksikan pendaftaran seramai 418,649 bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan 295,425 orang bagi Program Rekalibrasi Pulang. – MalaysiaGazette