KUALA LUMPUR – UMNO perlu meneroka strategi lautan biru jika ingin memastikan kelangsungan parti itu.
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kehilangan undi Melayu dan tiadanya undi bukan Melayu terhadap parti itu menjadi resipi terhadap kematian UMNO.
Menurut Mohamad, sokongan masyarakat bukan Melayu terhadap UMNO terus merosot dengan amat drastik semenjak beberapa pilihan raya umum yang lepas.
Sehingga dalam keadaan tertentu menurut Mohamad, UMNO tewas kerana tidak mampu untuk mendapat walau lima peratus sokongan daripada bukan Melayu.
Katanya, UMNO telah lama mengabaikan undi bukan Melayu dan UMNO mesti meneroka potensi politik yang bersesuaian dengan keadaan semasa melalui Kerajaan Perpaduan.
“Dengan pendirian yang UMNO ambil, dalam menyokong penubuhan Kerajaan Perpaduan, mungkin akan membuka ruang, untuk masyarakat bukan Melayu, membina semula keyakinan kepada UMNO, bahawa UMNO adalah parti yang rasional.
“Yang mengutamakan rakyat. Mengutamakan perpaduan dan kepentingan nasional,” tegas Mohamad.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri sempena Perhimpunan Agung UMNO.
Sementara itu Mohamad turut menegaskan, faktor yang mendorong orang Melayu menyokong atau menolak parti itu ternyata bukanlah kerana pendirian parti terhadap DAP.
Sebaliknya ia bergantung kepada kemampuan UMNO untuk meyakinkan orang Melayu bahawa kepentingan bangsa dapat diperjuangkan lebih baik dengan UMNO.
Ini termasuklah kerajaan yang dipimpin UMNO bebas rasuah dan tiada penyalahgunaaan kuasa.
“Biar saya tegaskan di sini juga, bahawa selama berpuluh tahun, kita bertentangan dengan DAP. Semua orang tahu itu.
“Tetapi, adakah dengan pendirian sedemikian, orang Melayu berduyun-duyun mendukung kita dan menjadikan kita semakin kuat, dan semakin berpengaruh, dengan pendirian sedemikian?
“Keputusan beberapa pilihan raya umum lepas, jelas menampakkan bahawa, di sebalik cemuhan kita kepada DAP, sokongan Melayu tidak meningkat.
“Malah merosot kerana faktor yang mendorong orang Melayu, menyokong atau menolak kita, ternyata bukanlah pendirian kita terhadap DAP,” katanya.
Mohamad berkata, yang menjadi kayu ukur sokongan Melayu ialah integriti, tadbir urus, kompetensi dan prestasi UMNO.
Bukan kerana semata-mata kerana UMNO menentang ideologi parti tertentu.-MalaysiaGazette
Yang masih berbaki mengundi Umno dalam PRU lepas insyaAllah akan beralih angin mengundi PAS/PN dalam PRU akan datang. Kesalahan terbesar adalah bekerjasama dengan DAP/PKR!