Datuk Seri Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengakui pertemuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) perlu diadakan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

Menurut beliau, parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan belum mengadakan sebarang pertemuan bersama selepas membentuk kerajaan hujung tahun lalu.

“Peringkat parti belum diadakan (mesyuarat), contohnya, kalau enam negeri adakan PRN yang mempunyai Dewan Undangan Negeri, jadi kena telitikan mana-mana kerusi yang banyak pengundi Cina, India dan kawasan Melayu.

“Kita belum putuskan untuk berhadapan dengan PRN dan berdasarkan kepada undi PRU15 lalu, jumlah undi yang dapat di setiap kawasan itu kita akan perincikan. Berdasarkan kepada apa yang kita kenalpasti itu, besar juga undi yang pergi kepada PN dan PH.

“Jadi, kita kena kaji bagaimana nak berhadapan dengan PN, sudah tentu presiden parti akan panggil pengerusi perhubungan untuk lihat calon yang sesuai untuk pergi ke PRN nanti. Banyak kerja kena buat, kena kenalpasti kawasan (masing-masing) dan tengok calon,” katanya dalam sidang media di pejabatnya sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2022)  hari ini.

Beliau dalam pada itu mencadangkan agar semua parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan perlu mengadakan pertemuan segera bagi memulakan rundingan kerusi-kerusi yang akan ditandingi.

“Saya ingat secepat mungkin sebelum PRN. Saya ingat kalau dalam rundingan semestinya ada (timbal balik). Dalam rundingan itu nanti tentu ada tawaran seperti kerusi yang nak ditandingi oleh kedua-dua pihak kalau ada rundingan nanti,” jelas Mahdzir lagi.

Pada bulan lalu, Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya akan mengadakan rundingan dengan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi PRN di Selangor, Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Pulau Pinang.

Saifuddin turut berkata, satu perbincangan bakal diadakan dengan semua parti terlibat bagi membincangkan secara khusus persiapan menghadapi PRN di enam negeri tersebut. – MalaysiaGazette