Former nasyid singer and composer, Yassin Sulaiman pleads not guilty at the Petaling Jaya Sessions Court to growing 17 cannabis plants in his house in Kota Damansara. PIX: MOHD ADZLAN /MalaysiaGazette / 31 MARCH 2022. cannabis drug trafficking
Bekas penyanyi nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman.

PETALING JAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menolak representasi dikemukakan penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman bagi mengkaji tiga pertuduhan kes dadah yang dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen Nik Nasimah Nik Mohammad bahawa AGC menolak representasi itu semalam, namun surat rasmi berhubung penolakan itu belum dikeluarkan.

“Saya percaya tarikh perbicaraan telah ditetapkan pada 6 Mac ini,” kata Mohd Asnawi ketika sebutan kes itu hari ini.

Peguam Ariff Azami Hussein mewakili Muhammad Yasin, yang mengesahkan keputusan representasi itu berkata pihaknya telah mendapat arahan terkini daripada anak guam untuk memfailkan representasi kedua selewat-lewatnya dua minggu.

Mahkamah menetapkan 20 Feb ini untuk sebutan bagi keputusan representasi kedua.

Penyanyi lagu Mimpi Laila itu didakwa memberikan dirinya dadah jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada 11.05 malam, 24 Mac tahun lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya  (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Muhammad Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah  di kediamannya di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini, pada 5.30 petang, tarikh yang sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 6 Akta ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan dan Seksyen 6B (1) (a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B (3) yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Muhammad Yasin ketika ditemui pemberita berkata beliau terkilan dan sedih dengan keputusan hari ini.

“Representasi itu ditolak mungkin kerana ada masalah teknikal, namun saya akan tulis sendiri untuk representasi kedua. Saya akan terus berjuang,” katanya.

Ariff Azami pula berkata pendakwaan boleh mempertimbangkan representasi kedua selagi perbicaraan masih belum bermula dan pihaknya akan memasukkan terma dan alasan berbeza dalam representasi kedua antaranya isu perubatan serta luahan hati anak guam.

— BERNAMA