Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – UMNO perlu berazam mengembalikan semula parti itu untuk menjadi paling bersih, berwibawa dan berkesan dalam mewakili kepentingan Melayu, Malaysia dan Islam.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, selepas tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu ahli parti itu perlu mempunyai iltizam untuk merawat, memulih dan membangunkan semula UMNO.

“Saya mahu kita semua tahu, misi kita hanya satu. Kita harus memimpin UMNO sebaiknya, agar ia kembali semula, diyakini oleh rakyat.

“Insya-Allah, dengan pendekatan yang terangkum dan profesional, mulai saat ini, kita semua mesti, memberikan seluruh jiwa dan raga, untuk kerja-kerja merawat, memulih, dan membangunkan semula UMNO, sebagai gerakan politik, dan amal bakti,” kata Mohamad.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka hari ini.

Mohamad Hasan berucap pada Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MUHD NA’IM, 11 JANUARI 2023.

Beliau menegaskan kedudukan UMNO yang susut dan kritikal pada ketika ini memerlukan dukungan semua ahli.

Katanya, untuk mengembalikan UMNO ke kedudukan terbaik akan mengambil masa.

Justeru Mohamad berkata, UMNO mesti melakukan perkara di luar kelaziman yang memerlukan kecerdasan yang baru dan bukan sekadar naratif dan slogan kosong.

“Ingatlah, orang Melayu boleh hidup tanpa UMNO. Tetapi, Orang Melayu tidak boleh berkehidupan, tanpa Islam, tanpa ilmu, tanpa kemajuan.

“Dahulu kita memerintah, kebitaraan kita sesuai dengan latar masa tersebut.

“Sekarang, kita tidak menguasai kerajaan. Maka sikap, pemikiran, dan kecerdasan kita juga, harus disesuaikan, untuk memanfaatkan peranan baru UMNO,” tegas beliau.

Mohamad Hasan melambai tangan ketika hadir pada Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 11 JANUARI 2023.

Sementara itu Mohamad juga berkata, UMNO mesti melupakan nafsu untuk berkuasa dengan sebesar-besar kekuasaan.

UMNO menurutnya, hanya mempunyai satu sahaja pilihan iaitu membangunkan semula keyakinan orang Melayu terhadap parti itu dan menjadi wadah gerakan politik, amal dan bakti untuk bangsa Melayu.

Beliau turut menegaskan,  UMNO perlu beriltizam, untuk memerangi politik wang dan mematikannya.

Katanya, jika UMNO tidak membunuh politik wang maka politik wang akan membunuh parti itu.

“Politik wang telah menjerumuskan UMNO ke tahap sekarang. Ia bukan sahaja menyebabkan UMNO tewas, tetapi menjadikan parti kita, semakin lemah dan tidak berketahanan.

“Kepada semua ahli UMNO, sedarlah, politik wang adalah jelik, jijik dan sangat keji. Keji pada agama, keji pada adat, keji pada amalan.

“UMNO hanya untuk mereka yang bersih, berjuang, dan mengasihi bangsanya. Kita mesti membunuh politik wang, sebelum politik wang membunuh UMNO,” kata Mohamad.-MalaysiaGazette