KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan menggunakan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) untuk meluahkan rasa sepanjang memimpin UMNO.
Beliau juga akan menggunakan ruang yang ada untuk menceritakan cabaran yang dihadapi sepanjang memimpin parti itu.
“Ruang ini seluasnya, saya gunakan bagi meluahkan rasa, menzahirkan cerita dan menelusuri cabaran-cabaran yang saya hadapi sepanjang menakhodai bahtera UMNO ini.
“Biarlah hari ini, di dalam dewan keramat ini, kita bersama-sama membina semula gerakan parti kita.
“Perubahan serta pembaharuan yang akan dilaksanakan, kita bincangkan secara berjemaah,” kata Ahmad Zahid dalam kenyataan di media sosial.
Ahmad Zahid juga terharu kerana melihat ramai perwakilan yang hadir di Dewan Merdeka untuk mendengar Taklimat Presiden UMNO hari ini.
Beliau percaya dengan semangat musyawarah, UMNO akan bangkit semula daripada kekalahan yang ditempuhi parti itu.
Menurut Ahmad Zahid, UMNO boleh kembali cemerlang dengan perasan ikhlas yang ditunjukan oleh ahli parti itu.
“Dengan semangat musyawarah, saya yakin kita mampu bangkit dari rebah. Dengan keikhlasan, kita mampu mencipta kejayaan.
“Dengan doa kepada Allah, mudah-mudahan kita semua beroleh rahmah,” katanya dalam kenyataan.
PAU 2022 bermula hari ini dengan Taklimat Presiden UMNO pada pukul 3 petang sebelum majlis perasmian persidangan sayap-sayap parti Wanita, Pemuda dan Puteri sebelah malam.
Ucapan persamian akan dilakukan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan. – MalaysiaGazette