Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ucapan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika perasmian tiga sayap parti yang sarat dengan mesej merupakan satu “wake up call” kepada lebih 3.4 juta ahli parti itu.

Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ahli UMNO perlu menyedari bahawa kedudukan parti itu selepas tewas dalam pilihan raya lalu.

“Tetapi bukan bermakna kegagalan itu merupakan ayat akhir untuk UMNO.

“Ada jalan-jalan lain yang boleh diterokai dalam usaha untuk memastikan UMNO bangkit kembali.

“Akhirnya mendapatkan semula keyakinan orang Melayu dan terus menyumbang serta berkhidmat kepada rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, malam ini.

Tambahnya, ahli-ahli UMNO mengakui untuk bangkit dan kekal relevan tidak mungkin boleh berlaku dalam tempoh singkat dan memakan masa.

“Jadi beberapa kriteria penting perlu ada untuk memastikan perkara itu tercapai,” jelasnya.

Ditanya tentang gesaan Mohamad agar agenda Melayu di dalam perjuangan UMNO disemak semula, Khaled bagaimanapun berkata, perubahan itu perlu sesuai dengan keperluan semasa.

“Saya percaya dalam konteks kesesuaian masa kerana kita dapat lihat bahawa demografi negara, kalangan rakyat yang sudah semakin berpelajaran, kemudahan sosial media, teknologi dan sebagainy.

“Sebab itulah semua itu mesti melalui perubahan termasuk perjuangan agenda Melayu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette