Logo WHO di ibu pejabat di Geneva, Switzerland. foto Reuters

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran terhadap penggunaan dua ubat batuk dari India untuk kegunaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan kematian di Uzbekistan.

WHO berkata, produk yang dikeluarkan oleh Marion Biotech, adalah “substandard” dan firma itu gagal memberikan jaminan tentang keselamatan ubat tersebut.

Amaran itu dibuat beberapa minggu selepas Uzbekistan mendakwa 18 kanak-kanak maut selepas mengambil sirap yang dibuat oleh syarikat itu.

Firma itu masih belum mengulas mengenai amaran itu.

Kementerian Kesihatan India telah menggantung pengeluaran ubat itu selepas kes kematian dilaporkan di Uzbekistan.

Jabatan Keselamatan Makanan di negeri Uttar Pradesh – yang menjadi pangkalan Marion Biotech turut menggantung lesen pengeluaran syarikat itu.

Dalam amaran yang dikeluarkan pada hari Khamis, WHO berkata, analisis ke atas dua sirap batuk – Ambronol dan Dok-1 Max – oleh makmal kawalan kualiti Kementerian Kesihatan Uzbekistan mendapati jumlah terdapat dua bahan cemar yang tidak boleh diterima – “dietilena glikol dan/atau etilena glikol” .

Dietilena glikol dan etilena glikol adalah toksik kepada manusia dan boleh membawa maut jika dimakan.

“Kedua-dua produk ini mungkin mempunyai kebenaran pemasaran di negara lain di rantau ini. Ia juga mungkin telah diedarkan, melalui pasaran tidak formal, ke negara atau wilayah lain,” kata WHO.

Ia menambah, “produk substandard” adalah “tidak selamat dan penggunaannya, terutamanya pada kanak-kanak boleh mengakibatkan kecederaan serius atau kematian”.

India dikenali sebagai “farmasi dunia” kerana ia menghasilkan satu pertiga daripada ubat-ubatan global, memenuhi banyak keperluan perubatan negara membangun.

Negara ini juga merupakan lokasi kepada beberapa syarikat farmaseutikal yang paling pesat berkembang.

Tetapi industri itu berada di bawah pengawasan WHO selepas pengeluaran sirap batuk yang dibuat oleh syarikat India dikaitkan dengan kematian kanak-kanak di negara lain.

Pada bulan Oktober, WHO telah memberi amaran yang sama, mengaitkan empat sirap batuk yang dibuat oleh firma India yang lain susulan kematian 66 kanak-kanak akibat kecederaan pada buah pinggang di Gambia.

Namun, Kerajaan India dan syarikat berkenaan, Maiden Pharmaceuticals, telah menafikan dakwaan itu. – Agensi