KUANTAN – Sebanyak RM20 juta diperuntukkan bagi menjayakan Program Pride Kasih kepada golongan warga emas di negeri ini.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program itu diteruskan pada tahun ini kerana sudah diluluskan dalam Belanjawan 2023.
“Kerajaan Negeri Pahang menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang bermesyuarat pada 11 Januari 2023 telah bersetuju supaya program Pahang Pride Kasih diteruskan pada tahun ini.
“Langkah ini merupakan inisiatif kerajaan kegeri bagi memastikan golongan yang layak di negeri ini mendapat rawatan kesihatan yang sewajarnya,” katanya menerusi kenyataan.
Artikel berkaitan: Insentif Pahang Pride Kid naik RM300 – MB
Pahang belanja 10 juta bagi Kad Kesihatan Warga Emas
Pemilik Kad Kesihatan Warga Emas Pahang beruntung – Mustaffar Kamal
Malah pada tahun ini, golongan penerima turut diperluaskan merangkum pesara Kemas, Jasa dan Seranta, bekas ketua kampung, ketua kampung serta golongan orang kurang upaya (OKU) yang penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Setiap penerima akan diberi kad kesihatan yang mempunyai nilai RM500 serta boleh digunakan untuk mendapatkan rawatan kesihatan di klinik-klinik swasta yang telah dilantik sebagai panel sepanjang tahun ini.
“Saya berharap supaya para penerima dapat menggunakan kad kesihatan yang akan diberikan ini dengan sebaik mungkin,” katanya. – Malaysiagazette