Treler muatan gula pasir dipercayai mengalami kerosakan pada brek semasa menuruni bukit lalu hilang kawalan di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur Ke Karak, hari ini.

KUANTAN – Seorang pemandu dan kelindan lori didapati positif dadah jenis amphetamine cedera dalam kemalangan di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur Ke Karak, hari ini.

Ketua Polis Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kedua-dua lelaki warga tempatan, masing-masing berusia 32 dan 39 tahun terbabit dalam nahas itu pada jam 2 pagi tadi.

“Siasatan pihak polis mendapati treler yang menghala ke Triang dengan muatan gula pasir dipercayai mengalami kerosakan pada brek semasa menuruni bukit lalu hilang kawalan.

“Kenderaan berat itu melanggar bahagian penghadang jalan sebelah kiri arah ke Kuantan serta terbabas melanggar besi penghadang sebelah kiri jalan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Pemandu lori dan kelindan mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan bahu sebelah kanan.

Ujian saringan air kencing ke atas mereka didapati positif dadah.

ARTIKEL BERKAITAN :

Berhati-hati ketika lalu KM40-45 Lebuhraya KL-Karak – Polis

3 kenderaan berat terlibat dalam kemalangan di KM42 Lebuhraya KL – Karak

Kes disiasat di bawah Seksyen 45 (1) Akta Pengangkutan Jalan (apj) 1987 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Zaiham turut memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan kemalangan keenam yang membabitkan di lokasi sama dalam tempoh 12 hari pada tahun ini. – MalaysiaGazette