Pembahas, Mohamed Nidzam Abdullah Hamidi berucap pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 12 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Semua ahli akar umbi dan kepimpinan UMNO perlu sedar bahawa parti telah ditolak pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) lalu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi berkata, tugas parti masa kini adalah untuk mencari punca sebenar mengapa ia ditolak pada dua pilihan raya.

“Realiti hari ini UMNO parti Melayu ditolak oleh orang Melayu, ini satu yang pelik. Kita kena akui ada masalah dengan parti itu, mengapa ada penolakan,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO hari ini.

Mohamed Nizham berkata, UMNO perlu mengakui parti sudah gagal kerana telah melakukan kesilapan dalam menjaga kepentingan Melayu.

“Kita kena bagitahu rakyat kita sudah buat salah, kita buat silap. Kita lupa kita pegang kuasa dan asyik bergaduh, buang PM, buang Zahid, buang Asyraf. Ini masalah kita, kita tak bercakap soal kita adalah Pemuda UMNO,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohamed Nizham berkata, dirinya hairan mengapa orang Melayu sendiri tidak mengundi UMNO dan memilih untuk memberikan undi mereka kepada Perikatan Nasional (PN).

“Orang Melayu sendiri tidak undi UMNO, ini satu yang pelik. Kita tidak tanya mengapa orang tak undi kita, tapi kita asyik berkata soal PN main Tik Tok,” jelas beliau lagi.

Semalam, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan kehilangan undi Melayu dan tiadanya undi bukan Melayu terhadap parti itu menjadi resipi ‘kematian’ UMNO.

Tambah Mohamad lagi, sokongan masyarakat bukan Melayu terhadap UMNO terus merosot dengan amat drastik sejak beberapa pilihan raya umum yang lepas.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast