Botol cecair vape mengandungi dadah yang dirampas oleh pihak polis dalam serbuan di sebuah premis dan rumah di Felda Pasir Besar, Gemas.

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki ditahan kerana disyaki menjual 33 botol cecair vape mengandungi dadah dalam dua serbuan berasingan di sebuah premis dan rumah di Felda Pasir Besar, Gemas.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tampin telah melakukan serbuan di sebuah kedai menjual alat rokok elektronik (vape) pada jam 7.30 malam, baru-baru ini.

“Polis menahan dua lelaki berusia 18 dan 23 tahun yang juga pekerja di kedai itu kerana disyaki memiliki cecair mengandungi dadah berkenaan.

“Hasil serbuan telah menjumpai lima botol kecil berwarna hitam yang disyaki mengandungi cecair dadah jenis ketamin anggaran isi padu 50ml,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Anuwal, serbuan kedua pada jam 8.30 malam hari sama di sebuah rumah di kawasan Felda Pasir Besar telah menahan seorang lelaki berumur 30 tahun yang merupakan pemilik kedai vape terbabit.

“Hasil pemeriksaan telah menemui 28 buah botol kecil disyaki cecair sama dengan isi padu 280ml.

“Jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM6,800,” jelasnya.

Jelas Anuwal, ketiga-tiga suspek telah ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari bermula 11 Januari lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Tampin pada Jumaat ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette