Pegawai Khas Hal Ehwal Masyarakat Kaum India kepada Timbalan Perdana Menteri, Ramesh Rao sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 13 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 60 peratus rakyat Malaysia didapati tidak peka dan tidak tahu tentang bantuan dan kemudahan yang boleh dipohon daripada kementerian.

Pegawai Khas Hal Ehwal Kaum India kepada Timbalan Perdana Menteri, Ramesh Rao berkata, ia menyebabkan rakyat tidak mengetahui fungsi sesebuah kementerian dalam pentadbiran negara.

“Saya akan menyarankan kementerian sedia ada mewujudkan satu cara untuk menyampaikan maklumat tentang bantuan kebajikan. Ia bagi memastikan rakyat mudah dan tidak tercicir daripada mendapat bantuan kerajaan.

“Saya cadangkan setiap tiga atau enam bulan, kementerian boleh mengeluarkan buletin atau makluman untuk diedarkan kepada rakyat di seluruh negara.

“Rakyat perlu diberi kefahaman wujudnya banyak bantuan dan kemudahan. Sebenarnya ada pelbagai jenis bantuan boleh dimanfaatkan rakyat tetapi ia tidak dipohon atau digunakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semua kemudahan mahupun bantuan yang disediakan kerajaan perlu dimanfaatkan oleh segenap lapisan masyarakat, bukan untuk golongan tentu sahaja.

Jelasnya, kefahaman tepat dan jelas boleh mengelakkan tercetus persepsi negatif kononnya kerajaan tidak membantu rakyat sedangkan pelbagai bentuk bantuan dan kemudahan telah tersedia.

“Kerajaan boleh menggunakan mekanisme pengagihan kit penjagaan Covid-19 sebelum ini untuk membolehkan maklumat berkenaan disampaikan terus ke rumah secara berkala.

“Mekanisme itu menunjukkan kesan baik apabila kit berkenaan dihantar terus ketika negara dilanda pandemik sebelum ini. Ia boleh dijadikan satu cara untuk menyampaikan maklumat berkenaan melalui buletin,” katanya.

Beliau berharap, rakyat tidak lagi hilang punca atau tidak tahu arah tujuan jika memerlukan bantuan ketika berdepan dengan masalah mahupun tekanan hidup.

“Selepas penjelasan tentang fungsi dan bantuan yang disediakan oleh kementerian disampaikan, saya berharap rakyat tidak seolah-olah hilang punca ketika ditimpa kesulitan dan kesusahan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette