Foto: Pengurusan Bukit Larut

IPOH – Pusat Peranginan Bukit Larut di Taiping ditutup sepenuhnya kepada umum ekoran kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat pada pukul 3 petang semalam.

Menurut kenyataan yang dikongsi menerusi Facebook Pengurusan Bukit Larut, kejadian tanah runtuh itu juga mengakibatkan laluan utama kawasan itu terhalang oleh keadaan tanah dan pokok tumbang di KM 10 jalan berkenaan.

“Susulan kejadian, kawasan peranginan berkenaan telah ditutup sepenuhnya daripada sebarang aktiviti bagi mengelak risiko. Kita akan maklumkan dan kemas kini tempoh penutupan ini selepas (pemeriksaan) tahap keselamatan dilakukan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) kelak,” menurut kenyataan itu.

Beberapa keping gambar dikongsikan di dalam Facebook itu yang memaparkan kejadian tanah runtuh yang turut berlaku di laluan jalan berdekatan Tea Garden Bukit Larut.

Ekoran kejadian itu JKR telah mengambil langkah keselamatan segera dengan memasang plastik menutupi kawasan yang runtuh bagi mengelak kesan hakisan berterusan, malah kon dan pita keselamatan telah dipasang di sepanjang jalan yang terlibat bagi menanda laluan yang terjejas. – Bernama