Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berucap pada Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 13 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – UMNO membentangkan dua pindaan perlembagaan parti hari ini bagi menterjemahkan keputusan yang diputuskan sebelum ini.

Pindaan berkaitan fungsi Ketua Penerangan dan Akta Lompat Parti itu dibentangkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebaik selesai ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 tengah hari ini.

Berikut dua pindaan yang dibentangkan:

1) Ketua Penerangan sebagai perwakilan automatik mengikut perkara fasal asal cadangan pindaan Perlembagaan UMNO

Fasal 8.4 – Perhimpunan Agung Tahunan hendaklah terdiri daripada:-

8.4.4 – Ketua, Timbalan Ketua, Naib Ketua, Ketua Wanita UMNO, Ketua Pergerakan Pemuda, Ketua Pergerakan Puteri dan Setiausaha Bahagian yang telah mengadakan Perwakilan Bahagiannya.

Mereka di atas yang menjadi Ahli Majlis Kerja Tertinggi berhak melantik gantinya yang terdiri daripada Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap atau Ahli Jawatankuasa Bahagian.

Fasal 8.4 – Perhimpunan Agung Tahunan hendaklah terdiri daripada:-

8.4.4 – Ketua, Timbalan Ketua, Naib Ketua, Ketua Wanita UMNO, Ketua Pergerakan Pemuda, Ketua Pergerakan Puteri, Setiausaha dan Ketua Penerangan yang telah mengadakan Perwakilan Bahagiannya. Mereka di atas yang menjadi Ahli Majlis Kerja Tertinggi berhak melantik gantinya yang terdiri daripada Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap atau Ahli Jawatankuasa Bahagian.

2) Akta Lompat Parti perkasa fasal asal cadangan Perlembagaan UMNO.

Fasal 20.11 – Seseorang ahli yang menang bertanding, tetapi meninggalkan parti, atau bertanding sebagai calon bebas atau parti lawan dalam pilihan raya Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri akan gugur keahlian dengan sendirinya.

Fasal 20.11 – Seseorang Ahli UMNO akan tergugur keahliannya secara automatik
sekiranya:-

20.11.1 – Ahli UMNO itu telah dipilih sebagai Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri dan kemudiannya telah menyertai suatu pakatan politik yang tidak dianggotai oleh UMNO atau memilih untuk menjadi Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri bebas; atau

20.11.2 – Ahli UMNO itu bertanding di dalam mana-mana pilihan raya sebagai calon bebas atau calon pakatan politik yang tidak dianggotai oleh UMNO

Selaras dengan pindaan perlembagaan itu, maka Peraturan Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda UMNO dan Pergerakan Puteri UMNO akan turut dipinda dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang akan datang bagi membolehkan Ketua Penerangan Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian menjadi perwakilan automatik ke Perhimpunan Agung masing-masing.

Rasional kepada pindaan itu ialah memastikan peruntukan dalam perlembagaan parti bersifat terkini dan selari dengan peruntukan undang-undang semasa negara. – MalaysiaGazette