Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hadir pada Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 13 JANUARI 2023.

BUKAN satu kejutan apabila Ketua UMNO Bahagian Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan sedia bertanding pada pemilihan parti yang dijadual sebelum Mei ini.

Pertandingan dalam pemilihan parti bukan asing kepada beliau dan jawatan tertinggi yang disandang adalah Naib Presiden UMNO.

Persoalannya Hishammuddin ingin bertanding jawatan apa?

Adakah jawatan Naib Presiden lagi dan berada di takuk lama atau bertanding jawatan lebih tinggi iaitu timbalan presiden atau presiden.

Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bercakap kepada media selepas mendengar ucapan dasar daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MUHD NA’IM, 13 JANUARI 2023.

Ketika ditanya oleh wartawan selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO hari ini, Hishammuddin masih berahsia.

“(Apa pendirian Datuk Seri terhadap dua pemilihan jawatan tertinggi?) Kita kena tunggu mesyuarat PAU kali ini dan kalau sekiranya keputusan PAU hari ini ada pemilihan, saya sendiri tidak keberatan untuk memikirkan untuk bertanding pada pemilihan akan datang.

“(Jawatan apa?) Itu kena tunggu ada pertandingan atau tidak?” soalnya.

Pada pemilihan UMNO yang berlangsung pada 2018 iaitu selepas parti itu tewas buat pertama kali dalam pilihan raya umum dan terpaksa menjadi pembangkang, Hishammuddin memutuskan untuk tidak bertanding.

Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein beramah mesra dengan perwakilan semasa hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 13 JANUARI 2023.

Nama Hishammuddin hangat diperkatakan di Dewan Merdeka kerana dia antara 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional yang disebut oleh Ahmad Zahid menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin untuk menjadi perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

Tindakan beliau bersama sembilan yang lain dianggap seolah-olah mahu mengkhianati kepimpinan Ahmad Zahid.

Hishammuddin bagaimanapun secara sinis berterima kasih kepada Ahmad Zahid kerana memaafkan beliau dan rakan-rakan yang bersengkongkol itu.

“Saya ucapkan terima kasih kepada presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) kerana memaafkan 10 ahli Parlimen, katanya pengkhianat tetapi sehingga hari ini saya tak tahu apa sebabnya kita dituduh sebagai pengkhianat.

“Saya cukup yakin bahaya apa yang telah berlaku tak ada benda yang patut kita opologetik sehingga dituduh mengkhianati perjuangan parti,” katanya.

Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein beramah mesra dengan perwakilan semasa hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 13 JANUARI 2023.

Kemunculan Hishammuddin hari ini di PAU 2022 sebenarnya mendapat perhatian perwakilan dan pemerhati yang hadir. Ramai yang mahu bergambar dengannya.

Kedengaran perwakilan yang melihat momen tersebut berkata, “ramai yang minat dengan Hishammuddin”.

Sahaja memancing, penulis bertanya kepada beberapa perwakilan sama ada Hishammuddin layak bertanding jawatan presiden atau timbalan presiden.

Tidak sangka jawapan yang diberikan adalah, Hishammuddin sesuai untuk jadi pemimpin tertinggi UMNO malah  perwakilan itu mendakwa ramai mahukan jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan.

Perwakilan itu menyatakan rasa kecewa kerana UMNO memilih untuk membentuk kerajaan dengan DAP selepas slogan ‘No DAP, No Anwar’ berkumandang pada perhimpunan agung lalu.

Persoalan sekarang sama ada Hishammuddin berani menyahut cabaran tersebut. Pilihan ditangannya.-MalaysiaGazette