Kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina di bandar Weinan, Shaanxi. foto Twitter

BEIJING – Kes jangkitan Covid-19 di China dijangka melonjak di luar bandar terutama di kawasan penjagaan kesihatan kurang mudah diakses.

Amaran itu dikeluarkan oleh pakar epidemiologi China susulan beratus-ratus juta penduduk negara ini akan pulang ke kampung halaman mereka – kebanyakannya buat pertama kali sejak wabak itu bermula menjelang tahun baharu.

Kemuncak gelombang Covid-19 di negara ini dijangka berlarutan dua hingga tiga bulan, menurut Zeng Guang, bekas Ketua Pusat Kawalan Penyakit China.

China telah berhenti menyediakan statistik Covid harian sejak menarik semula pelaksanaan dasar sifar Covid.

Bagaimanapun hospital di bandar besar, yang mana mana kemudahan penjagaan kesihatan lebih baik dan mudah diakses telah menjadi sesak dengan pesakit Covid kerana virus itu telah merebak ke seluruh negara.

Zeng berkata, sudah tiba masanya untuk memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar, dalam kenyataan yang dilaporkan Caixin.

Ini kerana, ramai warga emas, sakit dan kurang upaya di luar bandar sudah ketinggalan dari segi rawatan Covid-19, tambahnya.

Wilayah Henan tengah China adalah satu-satunya kawasan yang memberikan butiran kadar jangkitan pada awal bulan ini, memaklumkan hampir 90% penduduk telah dijangkiti Covid-19, dengan kadar yang sama dilihat di kawasan bandar dan luar bandar.

Bagaimanapun pegawai kerajaan berkata banyak wilayah dan bandar telah melepasi kemuncak jangkitan.

Cuti Tahun Baharu di China, yang bermula secara rasmi dari 21 Januari akan menyaksikan pergerakan tahunan manusia terbesar di dunia.

Kira-kira dua bilion perjalanan dijangka dibuat secara keseluruhan dan berpuluh juta orang telah pun mengembara. – Agensi