KUALA LUMPUR – Sistem percukaian negara perlu dirombak bagi menarik pelaburan langsung asing (FDI).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, regim percukaian perlu selaras dengan negara-negara maju yang lain.
Beliau yang juga Presiden UMNO itu berkata, walaupun asas ekonomi negara kukuh namun sentimen terhadap iklim pelaburan tidak berapa baik.
Beliau mencadangkan supaya cuti percukaian (tax holiday), insentif kredit baharu mesti ditawarkan oleh kerajaan.
“Langkah-langkah menyediakan insentif cukai yang mapan dan bersifat semasa, pasti akan meredakan kebimbangan dalam kalangan pelabur asing,” katanya semasa ucapan dasarnya sempena Persidangan Agung UMNO 2022 di sini hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, negara perlu mengembalikan daya saing agar tidak tenggelam dengan kepantasan serta kerancakan ekonomi negara-negara jiran.
Antara fokus yang perlu diberikan segera adalah penjanaan peluang pekerjaan, peluang perniagaan, latihan semula dan nilai tambah kemahiran serta padanan pekerjaan sesuai dengan kelayakan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) juga mahu usaha dibuat bagi mengembalikan citra Malaysia kepada dunia luar.
Tugas itu perlu dibuat oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga Setiausaha Agung BN.
Bagi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz juga digesa segera mempromosikan Malaysia sebagai negara yang mesra pelabur dan menawarkan iklim pelaburan yang kondusif.
“Limpahan pelaburan asing, sudah tentu akan dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara, di samping menjana peluang pekerjaan baharu buat anak bangsa kita,” ujarnya.- MalaysiaGazette