TEHRAN – Alireza Akbari, warganegara Britain-Iran, yang dijatuhi hukuman mati di Iran, telah dihukum bunuh.
Keluarga Akbari telah diminta pergi ke penjaranya untuk lawatan terakhir pada hari Rabu dan isterinya berkata, dia telah dipindahkan ke kurungan bersendirian.
Bekas Timbalan Menteri Pertahanan Iran itu ditangkap pada 2019 dan disabitkan kesalahan mengintip untuk United Kingdom, walaupun dinafikannya.
Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak berkata, hukuman mati itu adalah “tindakan yang tidak berperasaan dan pengecut, yang dilakukan oleh rejim biadab”.
Pemerintah Iran didakwa “tidak menghormati hak asasi manusia rakyat mereka sendiri” kata Sunak, sambil menambah rasa sedihnya bersama rakan dan keluarga Alireza.
Akhbar berita rasmi badan kehakiman Iran, Mizan, melaporkan pada hari Sabtu bahawa Alireza Akbari telah digantung, tanpa menyatakan tarikh hukuman mati itu berlaku.
Berita itu maklumkan selepas Iran menyiarkan video Akbari awal minggu ini.
Video itu menunjukkan Akbari membuat pengakuan seperti dipaksa, selepas kementerian perisikan negara itu mendakwa beliau sebagai “salah satu ejen terpenting perkhidmatan perisikan British di Iran” .
Bagaimanapun, BBC telah menyiarkan mesej audio pada hari Rabu daripada Akbari yang mendakwa dia telah diseksa dan dipaksa untuk mengaku di hadapan kamera terhadap jenayah yang tidak dilakukannya.
Dalam mesej audio Akbari berkata, dia tinggal di luar negara beberapa tahun lalu apabila dijemput melawat Iran atas permintaan seorang diplomat Iran yang terlibat dalam rundingan nuklear dengan kuasa dunia.
Setibanya di sana, tambahnya, dia dituduh mendapatkan risikan rahsia daripada setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Ali Shamkhani, “sebagai pertukaran untuk sebotol minyak wangi dan baju”.
Akbari mendakwa beliau “disoal siasat dan diseksa” oleh ejen perisikan “selama lebih 3,500 jam”.
“Dengan menggunakan kaedah fisiologi dan psikologi, mereka melanggar kehendak saya, mendorong saya menjadi gila dan memaksa saya melakukan apa sahaja yang mereka mahu,”
“Dengan kekerasan senjata api dan ancaman bunuh mereka membuat saya mengaku dakwaan palsu dan rasuah,” katanya.
Dia juga menuduh Iran berusaha “membalas dendam” terhadap UK dengan menghukumnya mati
Beberapa jam selepas mesej audio disiarkan, agensi berita Mizan mengesahkan buat pertama kali bahawa Akbari telah didapati bersalah mengintip, dan bahawa Mahkamah Agung telah menolak rayuannya.
Hubungan antara UK dan Iran telah merosot sejak beberapa bulan kebelakangan ini sejak UK mengenakan sekatan ke atas polis moral Iran dan tokoh keselamatan tertinggi yang lain, sebagai tindak balas terhadap tindakan keras negara itu terhadap penunjuk perasaan antikerajaan. – Agensi