Ahmad Zahid Hamidi. Foto HAZROL ZAINAL, 14 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamdi Hamidi menegaskan tidak timbul isu sama ada beliau atau timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan takut untuk bertanding kedua-dua jawatan tertinggi parti itu.

Sebaliknya beliau menegaskan, usul jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan datang daripada perwakilan yang mewakili akar umbi.

Katanya, usul itu dibuat kerana akar umbi mahu melihat perpaduan dalam UMNO.

“Soal takut (pertandingan jawatan presiden, timbalan presiden) tidak timbul kerana perwakilan mewakili akar umbi.

“Maka akar umbi yang mahu perpaduan dan penyatuan parti,” kata Ahmad Zahid.

Dalam sidang media selepas Perhimpunan Agung UMNO selesai, Ahmad Zahid berkata, beliau dan Mohamad tidak campur tangan terhadap usul tambahan yang dibawa oleh wakil dari Negeri Sembilan, Mohd Shukri Samsudin, semalam.

Ahmad Zahid berkata, beliau sendiri terperanjat ketika perwakilan daripada Negeri Sembilan membuat usul tambahan tersebut.

“Kami terperanjat bila ada usul tambahan. Tok Mat dia bangun (bila usul itu dibuat). Saya tarik dia untuk duduk semula.

“Saya katakan dia tidak sepatutnya campur tangan. Sebab jurucakap (usul) datang dari bahagian dia. Dia tak patut campur tangan. Saya dari Bagan Datuk mungkinlan. Tapi ini datang dari Negeri Sembilan.

“Usul ini adalah ‘ori,” tegas Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid berkata, beliau dan timbalannya menyerahkan sepenuhnya perbahasan usul serta kelulusannya kepada perwakilan.

Beliau menegaskan, kesemua lapan usul termasuk usul tambahan berkenaan diluluskan sepenuhnya mengikut fasa dalam Peraturan dan Perlembagaan Parti.

“Jika ada berita yang menyatakan perwakilan yang tidak sah berada dalam dewan atau perkara-perkara yang tidak diikuti oleh Pengerusi Tetap, saya yakin perkara itu telah mendapat nasihat Penasihat Undang-Undang UMNO sendiri dan merupakan Pengerusi Disiplin UMNO.

“Dan tentutnya sebagai pengamal undang-undang, penasihat undang-undang UMNO dan Pengerusi Disiplin UMNO pasti lebih tahu bahawa perjalanan mesyuarat dan peraturan yang diikuti dibuat mengikut apa yang termaktub dalam Perlembahaan dan Peraturan Mesyuarat,” kata Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid berkata, beliau menyerahkan kepada Pengerusi Disiplin untuk membuat tindakan sekiranya terdapat pihak yang masih mahu bertanding kedua-dua jawatan.

Usul tambahan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 hari ini.

Usul tambahan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO akan datang dicadangkan perwakilan dari Negeri Sembilan Mohd Shukri Samsudin, semalam.

Pemilihan UMNO perlu dilaksanakan sebelum 19 Mei tahun ini iaitu enam bulan selepas tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kalau kononnya takut perpecahan, maka sepatutnya semua jawatan tak dipertandingkan…dah sah2 lah usul dari Rembau tu mendapat restu dari ketua UMNO Rembau iaitu Tok Mat sendiri…makin hari makin merepek UMNO ni

Comments are closed.