boo UMNO
Antara perwakilan yang mengibarkan bendera UMNO pada Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 13 JANUARI 2023.

GELAGAT nakal sejumlah kecil perwakilan yang bersorak ‘boo’ ketika wakil Negeri Sembilan, Mohd. Shukri Shamsuddin membawa usul tambahan agar dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan mengocak ketenangan Perhimpunan Agung UMNO 2022.

Sebagai sebuah parti yang teguh menjunjung prinsip demokrasi, ahli-ahli UMNO tidak dihalang daripada menyuarakan pandangan terhadap setiap isu yang membabitkan parti.

Tidak menjadi kesalahan sekiranya ada yang tidak bersetuju dengan pandangan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dibuka untuk pertandingan dalam pemilihan parti tahun ini.

Pucuk pimpinan parti tidak menghalang sesiapa sahaja untuk memberi kritikan membina terhadap parti malah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sendiri menunjukkan sikap terbuka dengan menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan soal pemilihan jawatan yang disandangnya sejak pemilihan UMNO 2018.

Namun, keterbukaan itu tidak sewajarnya disalah tafsir sebagai lesen bagi ahli-ahli UMNO khususnya para perwakilan untuk membenarkan mereka mengkritik parti sewenang-wenangnya dengan mengetepikan adab dan sopan santun.

Apatah lagi, bersorak ‘boo’, merakam perbuatan kurang sopan itu serta menularkannya dalam media sosial sehingga membuka ruang kepada pihak lawan untuk memperlekehkan UMNO.

ARTIKEL BERKAITAN:

Sebarang perbezaan pendapat dalam UMNO seharusnya disuarakan mengikut adab dan tertib, selaras dengan budaya Melayu yang amat menitikberatkan soal budi bahasa.

Lebih molek jika kem yang mahu pertandingan dibuka untuk dua jawatan tertinggi itu menyuarakan pandangan dengan menggunakan laras bahasa yang teratur agar lebih meyakinkan perwakilan yang lain.

Sorakan ‘boo’ tidak memberi makna yang konkrit bagi menyokong pendirian mereka malah dilihat bersifat kebudak-budakan dan memalukan diri sendiri sahaja.

Tambahan pula, seperti yang dinyatakan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi, hanya berapa kerat sahaja perwakilan yang ‘boo’ usul tiada pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden semalam.

Walhal, jumlah perwakilan yang berdiri sebagai tanda menyokong usul dibentangkan Mohd. Shukri itu adalah lebih ramai sehingga hampir mencecah dua pertiga sekali gus memberi gambaran awal mengenai pendirian mereka.

Hormatilah suara majoriti yang mahu UMNO dalam keadaan stabil dan tenteram menjelang enam pilihan raya negeri (PRN) tanpa gangguan daripada golongan ‘nakal’ yang mungkin didalangi kluster broker dalam parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Jika dalam PRN 6 Negeri Umno gagal memenangi kerusi dengan banyak , nak salah siapa pulak..Sedangkan kekalahan PRU15 disebabkan kelemahan Ahmad Zahid sendiri serta tok mat.
    Kalau Ahmad Zahid kalah dalam pemilihan , orang lain boleh ganti kerana peminin bertukar ganti.
    Memalukan dan sangat lemah ..Jangan jadi penakut kepada Bayang-bayang sendiri..No Gentelmen lelaki-lelaki dalam MT
    #UMNO

Comments are closed.