boo demokrasi UMNO Najib Puad
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mendakwa beberapa perwakilan yang bersorak ‘boo’ ketika usul dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan merupakan penyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mereka didakwa bersama kumpulan pemimpin yang menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Muhyiddin sebagai calon perdana menteri selepas PRU15.

Bagaimanapun, menurut Puad, jumlah perwakilan yang berdiri menyokong usul yang dibentang oleh wakil Negeri Sembilan, Mohd. Shukri Shamsuddin itu adalah jauh lebih ramai iaitu hampir dua pertiga berbanding yang bersorak ‘boo.’

“Tetapi bila pembahas seterusnya sampai ke petang menyokong usul tiada pertandingan mereka senyap menyepi. Apa pun tengok hari ini. Usul itu akan diundi.

“Jangan pula tuduh di belakang, parti tidak demokratik setelah diundi. Boo itu sendiri adalah demokrasi walaupun tidak bersusila,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Rakaman video yang tular memaparkan sesi perbahasan ucapan dasar Presiden di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur semalam kecoh sebentar apabila segelintir perwakilan bersorak ‘boo’ sebagai tanda tidak bersetuju dengan usul yang dibawa Mohd. Shukri.

Keputusan berhubung usul tersebut akan dibuat oleh para perwakilan hari ini.

UMNO perlu mengadakan pemilihan di peringkat cawangan, bahagian dan pusat dalam masa enam bulan selepas PRU-15 seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Usul jawatan Presiden, Timbalan UMNO tidak dipertandingkan di ‘boo’ perwakilan