Isham dipecat Hamzah rasuah pengundi UMNO DAP
Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Dakwaan Khairy Jamaluddin kononnya beberapa tanda nama yang dikhaskan untuk perwakilan UMNO pada kerusi dalam Dewan Merdeka ditanggalkan untuk undian usul pada petang ini adalah tidak benar.

Malah, Ketua Penerangan UMNO Isham Jalil menyifatkan dakwaan bekas Ketua Pemuda UMNO itu bahawa ada perwakilan import akan dibawa masuk untuk mengundi usul pertandingan jawatan presiden dan timbalan sebagai fitnah.

“Saya ada dalam Dewan Merdeka sekarang, tidak ada perwakilan import seperti dituduh atau difitnah KJ.

“KJ pastinya tahu, setiap perwakilan di dalam Dewan Merdeka yang mewakili bahagian masing-masing kenal sesama sendiri yang duduk di barisan kerusi mereka atau siapa yang duduk di sebelah mereka.

“Jika ada orang yang mereka tidak kenal atau tidak sepatutnya berada di situ, mereka akan tahu dan pemeriksa-pemeriksa pas pun akan tahu,” kata Isham.

Serentak itu Isham meminta supaya Khairy Jamaluddin masuk sendiri ke dalam Dewan Merdeka dan memeriksa dakwaanya.

Katanya, KJ perlu meminta maaf kepada perwakilan dan pemeriks pas berikutan dakwaan yang dibuat.

“Saya saran dengan segala hormatnya supaya KJ datang sendiri ke Dewan Merdeka sekarang dan tunjuk mana satu perwakilan import yang didakwanya tersebut.

“Jika tidak, saya harap KJ dapat meminta maaf kepada semua perwakilan-perwakilan UMNO di sini kerana telah menuduh mereka diimport.

“Dan perlu minta maaf kepada pemeriksa-pemeriksa pas dan skuad sabil Pemuda kerana telah menfitnah mereka tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka. Fitnah itu lebih teruk dari membunuh. Salam,” katanya dalam kenyataan.

Menerusi satu video di akaun Tik Tok, Khairy berkata, tindakan itu dipercayai bagi membolehkan perwakilan ‘import’ dibawa masuk untuk sorak dan ‘bulldoze’ usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.-MalaysiaGazette