TINDAKAN UMNO mahu mewujudkan Majlis Ulama bagi menghadapi cabaran dan polemik insani yang kian mencabar adalah suatu pilihan tepat pada waktunya. Pujian wajar diberikan kepada Presiden UMNO dan barisan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) nya yang terus mengangkat sinar Islam ke suatu tahap yang lebih baik dalam parti tonggak orang Melayu dan Bumiputera tersebut.
Apatah lagi dikala UMNO kalah teruk semasa PRU15 yang lalu, bagi berhadapan dengan cabaran PRU16 akan datang, elemen agama dan memperkemaskan gerak kerja agamawi harus seiring dengan perjuangan nasionalisme. Perkara ini turut disambut baik oleh bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas Pusat, Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.
Khairuddin berkata, penubuhan majlis ulama berkenaan adalah selaras dengan pindaan perlembagaan yang dibuat UMNO pada 2019 bagi meletakkan Islam sebagai cita-cita perjuangan mereka. Calon BN di Kuala Nerus dalam PRU15 itu menambah majlis ulama UMNO boleh berperanan sebagai penasihat di semua peringkat agar selaras dengan syariat Islam.
Untuk menjadikan majlis berkenaan berfungsi dengan baik, khidmat Khairuddin harus ditagih dan diperlukan. Pengalaman dalam Majlis Syura Ulama Pas dapat dimanfaatkan dan selarikan dengan budaya UMNO agar cita-cita untuk naikkan syiar Islam dalam keluarga besar UMNO dapat dicapai. Selain itu, beberapa nama lain yang ada dalam UMNO harus diberi tempat dalam majlis berkenaan.
Antaranya Ahli MKT UMNO, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahaya; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Exco Pemuda UMNO, Ustaz Afif Farhi Othman; pendakwah bebas, Datuk Ustaz Kazim Elias dan beberapa nama besar lain yang mesra dengan perjuangan dibawa UMNO. Yang penting, biarlah majlis ulama tersebut menjadi fungsi pelengkap kepada Perlembagaan UMNO pindaan terkini yang menyeimbangkan antara bangsa Melayu dan agama Islam.
Fungsi majlis ulama itu juga perlu diperluaskan, bukan sekadar menjadi pelengkap di dalam organisasi UMNO semata-mata. Majlis ulama berkenaan boleh menjadi penasihat kepada Kerajaan Perpaduan dan kerajaan-kerajaan negeri, khususnya dalam isu-isu melibatkan keagamaan dan sensitiviti politik antara kaum.
Sarfarizmal Saad
Ahli GPMS Bangi