KUALA LUMPUR – Great Eastern Takaful Berhad (GETB) mencatat rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penghasilan arca pasir berbentuk penyu terbesar di Malaysia, di Cherating, Pahang hari ini.

Arca berukuran 8.8 meter panjang dan 6.4 meter lebar itu dihasilkan bagi meningkatkan kesedaran peserta program itu dan masyarakat mengenai isu alam sekitar serta pencemaran plastik yang mengancam hidupan marin.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahrul Azlan Shahriman dalam kenyataan berkata, susulan isu krisis alam sekitar yang semakin meruncing, GETB mengorak langkah dengan melakukan sesuatu yang luar biasa bagi menarik perhatian seluruh warga agensi mengenai pencemaran plastik.

“Laporan berkaitan hidupan marin yang terancam akibat plastik bukan perkara baharu malah ia berlarutan sejak sekian lama dan kes-kes sebegini semakin meningkat sehingga haiwan marin berdepan risiko kepupusan. Hari ini kami membawakan mesin kitar dan kitar semula 2-dalam-1 untuk menghasilkan pelbagai barangan baharu yang boleh digunakan seperti sikat, pembaris, penyepit beg dan bekas sabun daripada sisa plastik.

“Ini sebahagian komitmen kami dalam melaksanakan inisiatif Pengantaraan Berasaskan Nilai Untuk Takaful (VBIT) dengan menghasilkan produk inovatif, perkhidmatan digital dan operasi perniagaan mampan yang memberi impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar,” katanya.

Penyampaian sijil MBOR disaksikan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan, Datuk Hamdan Hussin yang mewakili Menteri Besar Pahang, Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamarudin Ibrahim dan Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman, Datuk Idros Yahya.

Bertemakan ‘dare to be different, we do it right’, program itu disertai 1,200 warga agensi.

Menurut GETB penglibatan semua tetamu kehormat dalam penghasilkan arca berkenaan melambangkan kerjasama erat antara GETB dan kerajaan negeri ke arah mencapai objektif perlindungan alam sekitar bersama. – Bernama