KUALA LUMPUR – Program Pemukiman anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan yang diadakan hari ini bertujuan memantapkan kesepakatan dan kesepaduan dalam kalangan menteri Kabinet.
Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan berkata, program bermula pukul 10 pagi tadi itu dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama 27 anggota Jemaah Menteri dan 10 pegawai kanan kerajaan di Kompleks Seri Perdana, di sini.
Menurutnya, program dilaksanakan bagi memperkukuh dan memantapkan kesepakatan dan kesepaduan dalam kalangan Anggota Jemaah Menteri dalam Kerajaan Perpaduan.
“Ia juga diisi dengan sesi taklimat khas mencakupi aspek-aspek penting ke arah pemantapan penyampaian perkhidmatan dan pengukuhan tata kelola atau tadbir urus jentera kerajaan,” kata jabatan itu.
JPM berkata, antara aspek yang dibincangkan dalam pemukiman itu termasuk Struktur Kerajaan dan Hal Ehwal Pentadbiran Awam, Pengurusan Kewangan dan Perolehan Kerajaan.
“Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali, turut menyampaikan taklimat Pelaksanaan petunjuk prestasi utama (KPI) anggota Jemaah Menteri semasa sesi permukiman sama yang berakhir 4.30 petang,” katanya JPM.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid menerusi hantaran di Facebook berkata, program tersebut bertujuan membincangkan hala tuju Kerajaan Perpaduan.